Sunday, March 23, 2008

Pengajian-E (Esei Tahun 2)

Sila rujuk kepada artikel MINDA MELAYU MALAYSIA. Bincangkan sejauhmana minda Melayu Singapura selaras dengan minda Melayu Malaysia.

25 comments:

epitome of 'silence' said...

Sesungguhnya rakyat Singapura juga mengalami detik-detik sejarah yang sama dengan negara di seberang tambak. Jika berdasarkan artikel tersebut, sememangnya pemikiran masyarakat orang Melayu di Singapura dan Malaysia selaras. Memandangkan kedua-dua negara ini melalui proses yang agak sama dalam menuju ke arah kemerdekaan, sudah tentu pemikiran dan tanggapan mereka tentang hal-ehwal semasa selaras.

Namun demikian, demi masa masyarakat Melayu di Singapura semakin maju dari segi intelek dan sosial. Mahupun terdapat segelintir masyarakat Malayu Singapura yang membiarkan diri mereka terkebelakang, kebanyakan orang Melayu di Singapura mempunyai kesedaran terhadap pentingnya peningkatan diri.Keadaaan ini amat berbeza dengan situasi orang Melayu di Malaysia yang sedang mengalami masalah perkauman dan belum menunjuk sebarang peningkatan atau perkembangan dalam bidang yang relevan mahupun mereka merupakan rakyat negara Melayu yang kononnya mementingkan hal-ehwal orang Melayu(bumiputera).

Pemikiran orang Melayu Singapura dan Malaysia berbeza kerana cara pemerintahan yang mereka mengalami. Mahupun Singapura adalah negara sekular, pemerintah di Singapura menekankan kepentingan pelajaran, peningkatan diri dan segala aspek positif yang bertujuan untuk membangunkan negara dan mempertingkatkan cara penghidupan rakyatnya tidak kira bangsa atau agama.

Di Malaysia pula, pemerintahnya terlalu sibuk mempertahankan hak milik orang Melayu sehinggakan mereka lepa akan kepentingan pembangunan negara yang akan menentukan sama ada mereka layak untuk terus memerintah Malaysia.Sikap leka ini telah mengakbibatkan masyarakat Melayu di Malaysia terus berfikiran sempit dan mementingkan perkara yang remeh seperti perkauman, sedangkan di Singapura masalah perkauman merupakan perkara yang lapuk.

Sejarah sahaja tidak dapat menentukan cara pemikiran sesebuah measyarakat, kerana masyarakat tersebut akan mengalami pelbagai perubahan yang sudah tentu akan menjejas cara pemikiran kelompok masing-masing mahupun mereka sebangsa.

-mazuin

a & w said...
This comment has been removed by the author.
a & w said...

"Sikap leka ini telah mengakbibatkan masyarakat Melayu di Malaysia terus berfikiran sempit dan mementingkan perkara yang remeh seperti perkauman, sedangkan di Singapura masalah perkauman merupakan perkara yang lapuk." -mazuin

Saya tidak setuju dengan pandangan ini kerana isu perkauman di Singapura bukan lapuk, tetapi rakyat Singapura yang takut untuk memberontak kerana sistem Singapura yang seperti 'kuku besi'.

Sehaluan dengan sistem 'kuku besi', pemerintah Singapura berjaya menjadi gunting dalam lipatan kerana muslihat dan berat sebelah mereka terselindung. Bukan secara eksplisit. Masyarakat Melayu telah dianaktirikan dan di marcapada ini pula, golongan Melayu masih terasing memandangkan pemerintah 'membuka pintu' serta mengalu-alukan kedatangan pekerja asing.

Pemikiran masyarakat Melayu di Singapura dan Malaysia hampir sama tetapi tidak serupa. Masyarakat Malaysia terlalu dimanjakan oleh pemerintah sehingga mereka ditakuk lama. Mendak, Mendatar.
Tidak seperti masyarakat Melayu Singapura, yang progresif kerana sering ditekan oleh pemerintah. Sehingga tertekan.

Tetapi, Melayu tetap Melayu!

Salam Sejahtera,
Siti Nurul Aiin

epitome of 'silence' said...

Saya setuju dengan pendapat Aiin yang menerangkan situasi pemerintahan Singapura yang sebenar. Walauapapun cara pemerintahan pemimpin Singapura, hakikatnya masyarakat Melayu di Singapura masih akur dengan segala perintah mereka dan tidak berani menyuarakan pendapat masing-masing.
Kenyataan ini juga melibatkan masyarakat berbangsa asing di Singapura.

Mahupun sistem ini dianggap 'kuku besi' keberkesanannya tidak boleh dinafikan. Lihat sahaja rakyat Singapura yang tidak berani mempersoalkan segala polisi pemerintah sama ada berkenaan dengan jumlah zuriat mahupun gaji bulanan masing-masing. Cara pemerintahan yang berbeza inilah yang mengakibatkan perbezaan dalam pemikiran rakyat Melayu Malaysia dan Singapura.

nazurah said...

Berdasarkan pembacaan yang telah dibuat mengenai artikel ini, dapat dilihat bahawa pemikiran Melayu Malaysia dan Singapura selaras ekoran sistem penjajahan yang telah mereka lalui dahulu.

Namun demikian, ianya tidak terus kekal sama. Setelah mencapai kemerdekaan dan Singapura pun telah berpisah dengan Malaysia pelbagai perubahan telah berlaku dan dapat dilihat terhadap masyarakat Melayu Singapura.

Berdasarkan sistem politik yang diamalkan oleh pemerintah Malaysia dan Singapura kita dapat melihat bahawa kedua-dua sistem pemerintahan ini amat berbeza. Singapura mengamalkan sistem pemerintahan yang saksama iaitu meritokrasi manakala Malaysia lebih mementingkan dan mengutamakan masyarakat Melayu mereka.

Hal ini sama sekali telah membezakan masyarakat Melayu Malaysia dan Singapura. Masyarakat Melayu Singapura lebih mementingkan kemajuan dan kepentingan peningkatan diri masing-masing. Ini kerana ia dapat membantu bukan sahaja dalam kemajuan individu malah juga kemajuan dan keharmonian negara Singapura.

Berbeza dengan sikap masyarakat Melayu Malaysia, mereka lebih mementingkan perkara remeh seperti soal kedudukan dan hak yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan. Jarang sekali mereka memeikirkan tentang peningkatan diri yang dapat sama-sama berjuang untuk kemajuan negara.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh terus-menerus mengenangkan sejarah yang telah lama berlalu itu. Dunia berubah mengikut peredaran zaman dan juga masa. kita hanya boleh menjadikan sejarah sebagai pengajaran kepada kita untuk meneruskan kehidupan di masa hadapan.

Sejarah tetap sejarah. Apa yang harus dilakukan adalah untuk meneruskan kehidupan selaras dengan kehendak dunia masa kini.

-Nazurah

nazurah said...

Kita dapat melihat dan mengetahui bahawa Singapura merupakan sebuah negara sekular manakala Malaysia pula merupakan sebuah negara Islam. Namun demikian, cara pemerintahan Malaysia tidak begitu selaras dengan ajaran Islam berbanding dengan negara sekular seperti Singapura.

Meskipun Singapura diperintah oleh seorang pemerintah yang berbangsa Cina namun sistem pemerintahan yang diamalkan sering kali berpandukan ajaran Islam. Contoh mudah yang boleh dijadikan bukti ialah sistem meritokrasi yang diamalkan oleh Singapura. Sesiapa sahaja rakyat Singapura tidak kira bangsa dan agama yang berjaya mencapai pencapaian yang cemerlang akan dianugerahkan mengikut kategori yang berpatutan.

Tidak seperti Malaysia mereka lebih berpihak kepada masyarakat Melayu dengan alasan bahawa negara tersebut merupakan sebuah negara yang mana masyarakat Melayu mencatatkan populasi yang tinggi. Maka, pemerintah Malaysia berpendapat bahawa masyarakat Melayu Malaysia harus diberi keutamaan yang lebih berbanding masyarakat lain meskipun mereka mencatatkan pencapaian yang lebih baik dari segi akademik.

"Mahupun Singapura adalah negara sekular, pemerintah di Singapura menekankan kepentingan pelajaran, peningkatan diri dan segala aspek positif yang bertujuan untuk membangunkan negara dan mempertingkatkan cara penghidupan rakyatnya tidak kira bangsa atau agama."-mazuin

Saya bersetuju dengan nukilan yang dipetik daripada ulasan yang dibuat oleh Mazuin. Sistem pemerintahan sesebuah kerajaanlah yang menentukan pemikiran sesebuah masyarakat dan bukan sejarah semata.

Kita hidup haruslah berpandukan dengan peredaran zaman yang memerlukan kita untuk sentiasa terus berusaha gigih dan bertindak pantas bukanlah terus kekal berada di bawah takuk yang lama.

Kesimpulannya kini, pemikiran setiap masyarakat itu berubah selaras dengan pergerakan masa dan perubahan zaman. Sejarah hanyalah sebuah isu yang wujud bagi mengenalkan kepada generasi baru mengenai sesebuah kejadian.

-nazurah

Fadilah Bte Abd Malik said...

Minda masyarakat Melayu di Singapura dan Malaysia jauh berbeza kerana memandangkan kedua-dua buah negara mengamalkan sistem pentadbiran negara yang berbeza.

Singapura mengamalkan sistem meritokrasi manakala Malaysia pula memperjuangkan demokrasi. Oleh yang demikian, cara pentadbiran yang berbeza inilah yang menyebabkan cara pemikiran rakyat dari dua buah negara jauh berbeza.

Cara pentadbiran yang berbeza inilah yang mempengaruhi minda masyarakat. Pemerintah dan kerajaan mempunyai kuasa dalam pembentukan minda masyarakat. Bak kata pepatah, 'bagaimana acuan, begitulah kuihnya'.

Pada masa yang sama, keselarasan minda masyarakat Melayu Singapura dan Malaysia dapat dilihat dari segi stigma yang selama ini dikaitkan dengan mereka, iaitu kelekaan dan kemalasan. Sememangnya adalah pahit untuk diterima tetapi inilah kenyataan yang harus kita tempuh.

Tun Dr Mahathir Mohd begitu berani mengkritik bangsanya sendiri sehingga beliau mencipta sebuah puisi "Melayu Mudah Lupa" yang menceritakan tentang kelemahan masyarakat Melayu Malaysia.

Masyarakat Melayu Singapura amat bangga dengan kelahiran Singapore Idol mereka. Bukankah lebih baik jika pencapaian anak-anak Melayu kita dapat mencapai tahap sedemikian? Malangnya hiburan adalah sesuatu yang sinonim dengan masyarakat Melayu kita.

Diharapkan agar generasi pada masa hadapan dapat menghapuskan stigma yang selama ini mencemarkan nama baik masyarakat Melayu.

a & w said...

Pemuda tunggak negara, Pemudi tiang bangsa.

Golongan muda adalah pelapis masyarakat dan mereka yang bakal memimpin negara. Justeru, membentuk dan memupuk ciri-ciri kepimpinan dan menjaga tatasusila adalah mustahak. Namun demikian, masyarakat Melayu masih tidak mahu bersatu untuk memajukan bangsa. Hal yang sedemikian adalah masalah masyarakat Melayu di Singapura dan Malaysia. Demi menjana kehidupan yang sejahtera dan mengatasi masalah ini, masyarakat Melayu harus mengamalkan falsafah orang bijak pandai, 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Ego telah bermaharajalela di minda masyarakat Melayu Malaysia. Kini, kita digegarkan pula dengan isu politik Malaysia yang begitu hangat sehingga menjadi satu sensasi.

Manakala, masyarakat Melayu Singapura sibuk dengan dunia hiburan yang tiada titik notktahnya. Namuun demikian, masyarakat Melayu telah menunjukkan kemajuan yang menakjubkan. Bilangan anak muda Melayu yang berjaya ke menara gading semakin meningkan. Tetapi, bilangan tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain.

Perbezaan yang ketara ini telah menjadi jurang pemisah di antara masyarakat Melayu Singapura dan Malaysia. 'Rambut sama hitam, hati lain-lain'. Bukan hati sahaja yang lain, minda pun belainan juga.

Tiada gunanya jika masyarakat Melayu tidak muhasabah diri. Tidak mengambil kritikan Dr Mahathir sebagai satu kritikan yang membina untuk memperbaiki diri sendiri. Pucuk pangkalnya, diri sendiri. Tiada sesiapa yang boleh merubah hidup orang lain kecuali dirinya sendiri. Diri sendiri perlu berusaha untuk mara ke hadapan.

Macam mat rip punya cakap, "Sendiri mau ingat ah!"

Salam sejahtera,
Siti Nurul Aiin

fie said...

Menyentuh tentang minda Melayu, semamangnya tidak dapat disangkal lagi sekiranya minda Melayu Singapura dan Malaysia itu sebenarnya masih ada lagi persamaannya sungguhpun perbezaan telah dapat dilihat demi masa.

Perbezaan berlaku dan dapat dilihat dengan ketara semenjak Singapura berpisah dari Malaysia. Sistem pemerintahan itu telah banyak mempengaruhi dan mengubah cara pemikiran kita. Sistem meritokrasi yang dipraktikan di negara Singapura ini telah meninggalkan kita tanpa pilihan kecuali bekerja keras untuk berjaya. Sebagaimana yang dijanjikan oleh pemerintah, dalam negara sekular seperi Singapura ini, sistem meritokrasi akan menghapuskan sebarang sikap bias dan sekaligus menempatkan mereka yang rajin berusaha di tangga atas. Atas kesedaran ini, masyarakat Melayu di Singapura sedar bahawa mereka sudah tidak ada masa lagi untuk berlengah-lengah memandangkan bangsa Cina dan India telah berjaya jauh ke hadapan. Pendidikan telah mendapat kepentingan di kalangan masyarakat Melayu dan telah banyak terbukti kini bahawa jumlah anak Melayu ke institusi tinggi semakin meningkat berbanding dengan masa lalu. Melayu Singapura telah banyak menunjukkan kemajuan dan minda mereka telah banyak berubah. Masyarakat Singapura lebih berfikiran progresif dan sedar akan keperluan globalisasi. Fikiran mereka telah lebih melangkah jauh ke hadapan.

Bagaimanapun, ia agak berlainan bagi Melayu Malaysia. Berbanding dengan Melayu Singapura, Melayu Malaysia masih lagi terkebelakang. Sebagaimana yang dikatakan oleh Mazuin, pemerintah Malaysia terlalu sibuk memikirkan tentang hak Melayu sehinggakan mereka lepa akan hal-hal yang lebih penting seperti pembangunan dan pendidikan masyarakat Melayu. Disebabkan itu juga, ia menimbulkan satu rasa 'complacency' dalam diri Melayu Malaysia yang sedar bahawa mereka tetap akan diutamakan dalam apa jua situasi sekali pun.

Sungguhpun begitu, minda Melayu Singapura dan Melayu Malaysia ada persamaannya dan ianya terletak pada Hiburan. Sebut sahaja 'Melayu' pasti hiburan turut sama disangkutkan. Pesta-pesta hiburan begitu kerap dianjurkan dan mendapat sambutan hangat oleh masyarakat Melayu. Hakikatnya, hiburan sudah melekat dan mendapat kepentingan dalam diri Melayu.

Tiada salahnya untuk gemar pada hiburan, tetapi haruslah berpada-pada kerana terlalu banyak hiburan juga boleh menghancurkan.
Melayu Malaysia dan Melayu Singapura; "sama tapi tidak serupa"

-hafizah-

a & w said...
This comment has been removed by the author.
a & w said...

Saya sependapat dengan Hafizah. Kecenderungan pada hiburan boleh melalaikan kerana manusia begitu asyik sehingga mereka menjadi alpa.

Faktor perdana yang melemahkan minda masyarakat Melayu ialah pujian. Baik masyarakat Melayu di Malaysia mahupun Singapura, mereka pantang dipuji. Diangkat. Dilambung. Tetapi mereka benci dibuang. Dikritik.

Secara tidak langsung, mereka akan menjadi puas dan merasakan bahawa diri mereka sudah cukup sempurna dan tidak perlu memeperbaiki prestasi ataupun keadaan. Seperti yang saya katakan tadi, mereka pantang dipuji. Kononnya, segala usaha sudah pun memadai dan dianggap berbaloi. Padahal, kita harus sentiasa memperbaiki diri supaya tidak ditakuk lama dan sentiasa kekal relevan mengikut peredaran masa. Hal yang sedemikian adalah pegangan pemerintah Singapura yang sentiasa menukar dasar-dasar pemerintah supaya sentiasa berdaya saing dengan negara-negara yang lain.

Pada masa yang sama, masyarakat Melayu tidak menyedari bahawa setiap pujian itu datang dengan ujian. Manusia sentiasa diuji. Justeru, manusia harus menguji kemampuan mereka untuk pergi lebih jauh.

Dengan kecekalan hati dan kegigihan, kejayaan pasti di dalam genggaman kita!

-Siti Nurul Aiin

Unknown said...

Saya sependapat dengan Aiin. Ada benarnya bahawa masyarakat Melayu itu takut dan benci pada kritikan. Melayu melihat kritikan itu sebagai sesuatu yang negatif dan ingin menjatuhkan semangat mereka. Walhal, mereka tidak menyedari sekiranya kritikan itu sepatutnya dilihat dari aspek yang positif.

Mengapa agaknya seseorang itu mengkiritik? Salah satu sebabnya ialah kerana mereka dapat melihat atau mencari kelemahan kita. Oleh itu, melalui kritikan itu, kita mempelajari kesilapan kita dan pada masa yang sama mencari dan memperbetulkan kelemahan kita.

Kritikan itu haruslah dianggap sebagai sesuatu faktor yang membina dan membantu kita untuk melangkah maju ke hadapan. Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia, kita tidak mampu melihat kesilapan dan kelemahan kita selagi tiada yang mengkritik atau menegur.

Sebab yang menyebabkan kita tidak dapat menerima pandangan dan kritikan dari orang lain ialah atas dasar ego. Ego yang terlalu tinggi boleh merosakkan diri kita sebagai manusia yang tidak mampu terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan.

Disebabkan itu juga, sebagaimana yang dikatakan oleh Fadilah,
"Tun Dr Mahathir Mohd begitu berani mengkritik bangsanya sendiri sehingga beliau mencipta sebuah puisi "Melayu Mudah Lupa" yang menceritakan tentang kelemahan masyarakat Melayu Malaysia."

Melayu terlalu leka dengan pencapaian mereka sehinggakan mereka lupa bahawa hari esok perlulah lebih baik dari hari semalam.

-hafizah-

Wellington Primary School said...

Seperti yang dikatakan oleh saudari Fadilah, berlakunya perbezaan antara Melayu Singapura dan Melayu Malaysia sememangnya terletak pada satu faktor utama iaitu cara pentadbiran negara masing – masing. Menurut saudari Fadilah,“Cara pentadbiran yang berbeza inilah yang mempengaruhi minda masyarakat. Pemerintah dan kerajaan mempunyai kuasa dalam pembentukan minda masyarakat.”

Oleh demikian, sememangnya tidak boleh disangkal bahawa minda Melayu Malaysia dan Singapura itu berbeza. Sebabnya ialah pemikiran Melayu Singapura telah dibentuk/terbentuk berdasarkan sistem pentadbiran demokrasi yang mementingkan kualiti. Justeru, ini secara tidak langsung telah membina daya persaingan dalam Melayu Singapura demi menandingi bangsa lain.

Kemungkinan besar juga , ini ialah salah satu perbezaan yang ketara di antara Melayu Singapura dan Malaysia memandangkan Melayu Malaysia diberikan hak yang lebih berbanding bangsa lain lantas tiada mekanisma yang menjadi katalis untuk meningkatkan daya persaingan dalam jiwa Melayu Malaysia.

Prof Diraja Ungku Aziz telah mengatakan bahawa “Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul” Meskipun beliau mengaku bahawa ianya akan meningkatkan ekonomi masyarakat Melayu.

Sememangnya saya ingin menyangkal pendapat beliau kerana sekiranya ingin membangunkan sesebuah masyarakat itu, bukan sahaja dari segi sosial harus dibetulkan tetapi aspek ekonomi juga memainkan peranan yang penting.

Hakikatnya,sekiranya ekonomi sesebuah bangsa itu tidak kukuh maka agak sukar untuk membangunkan masyarakat tersebut dalam aspek – aspek lain.

Meskipun begitu, saya setuju pula dengan pendapat beliau bahawa “orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.”

Semestinya, masyarakat Melayu, baik SIngapura ataupun Malaysia telah kian menjadi lebih individualistik. Ini dapat dilihat berdasarkan kehapusan nilai – nilai Melayu seperti bergotong – royong.

Hakikatnya, Melayu SIngapura mahupun Malaysia sememangnya keterbelakang berbanding dengan masyarakat lain. Salah satu sebab utamanya ialah kerana sikap negatif yang telah dikatakan oleh Prof Diraja Ungku Aziz.

- Nor Jannah -

Wana said...

Saya setuju dengan apa yang dikatakan Mazuin dan rakan-rakan seperjuangan yang lain bahawasanya memandangkan masyarakat Melayu Singapura dan masyarakat Melayu Malaysia melalui sejarah yang sama, oleh yang demikian boleh kita katakana minda Melayu kedua-dua buah negara ini selaras.

Seperti yang telah diulas dan dikupas Profesor Diraja Tengku Aziz, masyarakat Melayu nusantara telah sekian lama menjadi mangsa penjajahan dan mangsa penakluk-penakluk kuasa di sekeliling mereka. Oleh yang demikian, masyarakat Melayu seakan menjadi mangsa kejadian semasa – yakni Tanah Melayu telah ditakluk kerajaan Portugis sejak tahun 1511 manakala Singapura telah dijajah kerajaan British sejak tahun 1819. Jika kita selaraskan sejarah Singapura dengan sejarah Malaysia pada awal penaklukan ‘orang putih’, masyarakat Melayu seakan telah terbiasa dengan system mengikut mengikut telunjuk dan mentaati sesiapa sahaja yang memerintahnya. Oleh yang demikian, seperti apa yang pernah dikatakan Lily Zubaidah tentang Melayu malas, satu mitos atau realiti merupakan satu faktor yang kita tidak patut mempersalahkan masyarakat Melayu sahaja. Ini adalah kerana keadaan juga memainkan peranan dalam membentuk minda masyarakat yang telah selalu dimanjakan dengan hak-hak yang mereka tahu mereka patut terima.

Dari itu, tatkala perpisahan berlaku, di samping sistem 'kuku besi' yang amat berkesan di Singapura, bergandingan dengan masyarakat-masyarakat dari bangsa-bangsa asing, masyrakat Melayu turut mara ke hadapan untuk menepati peredaran dan keperluan masa. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, masyarakat Melayu Malaysia pula masih dibelenggu dengan hak-hak yang sepatutnya, umpama mereka masih menakuti orang-orang seperti LKY negara kita, yang bakal meragut segala hak itu daripada mereka, akan muncul kembali.

Oleh itu, saya sependapat dengan saudari Hafizah yang mengatakan bahawa minda masyarakat Melayu Malaysia dan Singapura 'serupa tetapi tidak sama'. Ini adalah kerana mungkin kita boleh katakan minda masyarakat Melayu pada zaman perpisahan Malaysia-Singapura dan sebelumnya adalah selaras. Namun demikian, setelah haluan negara masing-masing tercanggah, demi masa, minda masyarakat Melayu dari segi ekonomi, pembangunan dan politik adalah berbeza sama sekali.



Sekian,
Nirwana Haliza

Fadilah Bte Abd Malik said...

Berikut merupakan nukilan daripada pandangan saudari Aiin. "Secara tidak langsung, mereka akan menjadi puas dan merasakan bahawa diri mereka sudah cukup sempurna dan tidak perlu memeperbaiki prestasi ataupun keadaan."

Saya amat bersetuju dengannya. Sememangnya masyarakat Melayu mudah berasa puas dengan pencapaian mereka dan mereka berpendapat bahawa segala yang mereka perolehi sudah memadai. Seperti yang dikatakan oleh Aiin mereka berasakan bahawa diri mereka sudah cukup sempurna dan tidak perlu memeperbaiki prestasi ataupun keadaan.

Hal demikian jelas dapat dilihat ketika Singapura dilanda kegawatan ekonomi. Masyarakat Melayu merupakan di antara golongan yang teramai dibuang kerja kerana ramai yang tidak mempunyai kelulusan tinggi dan pada masa yang sama, mereka tidak mempertingkatkan diri.
Dalam hal ini, mereka harus menyalahkan diri mereka sendiri.

Setelah itu, masyarakat Melayu mula sedar betapa pentingnya untuk mereka memeprtingkatkan diri untuk kekal relevan dalam era globalisasi. Ramai yang menghadiri kursus-kursus peningkatan diri.

Ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan baru walaupun ianya tiada kaitan dengan kelulusan dan pengalaman yang mereka perolehi sebelumnya.

Pada masa yang sama, ada juga sesetengah masyarakat kita yang terlalu memilih pekerjaan. Mereka tetap inginkan jenis pekerjaan yang sama sebelumnya. Dalam keadaan ekonomi yang sesak, mereka tidak boleh bersikap terlalu memilih pekerjaan. Ada juga yang berdegil dan tidak mahu meningkatkan diri. Akhirnya mereka sendiri yang rugi.

Kalau dilabel Melayu malas, mereka mengamuk dan tidak mahu menerimanya. Tetapi jelas sekali mereka menunjukkan sikap sedemikian.

Akhir kata dari saya, kita seharusnya persiapkan diri untuk masa depan, bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan'. Jangan pula nanti "sudah terhantuk baru hendak terngadah..."

-munsyidil-

Fadilah Bte Abd Malik said...

Masyarakat Melayu di Singapura sudah menunjukkan banyak perubahan dan peningkatan.Kejayaan Natasha Nabilah sebagai pelajar PSLE terbaik pada tahun lepas membuktikan bahawa masyarakat Melayu juga mampu 'duduk sama rendah dan bediri sama tinggi' dengan bangsa lain di Singapura.

Akhbar Berita Harian pada 27 Mac 2008 pula melaporkan kejayaan dua adik beradik yang mencipta 'SOKA' ataupun stokin wudhuk untuk kegunaan kaum muslimah. Berkat usaha gigih mereka, dan idea yang inovatif, produk tersebut mendapat sambutan hangat.Ini jelas membuktikan bahawa masyarakat Melayu mampu membidas stigma yang selama ini melekat pada nama bangsa mereka, iaitu masyarakat Melayu dikaitkan dengan kemunduran dan malas.

Apa pendapat kalian?

Wana said...

Saya amat setuju dengan pendapat saudari Fadilah, 'bahawa masyarakat Melayu mampu membidas stigma yang selama ini melekat pada nama bangsa mereka, iaitu masyarakat Melayu dikaitkan dengan kemunduran dan malas'.

Masyarakat Melayu kini tidak boleh disamakan dengan masyarakat Melayu sebelumnya. Minda masyarakat Melayu kini semakin terbuka dan semakin dapat menerima segala perubahan, dan sekali gus mengadaptasinya. Oleh yang demikian, tanpa perlu dikejutkan daripada 'tidur' mereka, secara tidak langsung, dengan kehidupan sekeliling yang membelenggu mereka, mereka sendiri akan sedar akan keperluan berusaha, bersaing dan menandingi sesiapa sahaja yang menghalang perjuangannya.

Antara contoh yang lainnya, di akhbar Berita Harian pada awal tahun 2000, terdapat sepasang suami isteri berbangsa Melayu yang telag mendapatkan segulung ijazah pada usia selanjut lewat 60 tahun, daripada UniSIM. Dalam pada itu, mereka berazam untuk mendapatkan PhD pula. Perkara ini sama sekali merupakan sesuatu hal yang amat memberangsangkan dan patut dicontohi generasi muda yang bakal menjadi pelapis masyarakat kita.

Oleh itu, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa sememangnya masyarakat Melayu adalah sama sahaja dengan bangsa-bangsa yang lainnya. Apa yang membezakan ialah niche, perspektif dan minda masyarakatnya sahaja. Sekiranya dikatakan masyarakat Melayu sahaja yang taksub dengan mistik, bagaimana pula dengan masyarakat di negara JEpun dan Thailand yang amat terkenal dengan filem-filem seramnnya seperti Juon dan Shutter.

SElain itu, mengapa masyarakat MElayu sering dikaitkan dengan faktor-faktor yang negatif sahaja? Kesantunan bahasa dan kelembutan adab yang melambangkan bangsanya, pantang larang dan peribahasanya yang memanfaatkan masyarakatnya, bukankah ia satu perkara yang positif?

a & w said...
This comment has been removed by the author.
a & w said...

Fadilah, pada pendapat saya masyarakat Melayu memang sudah menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang baik tetapi belum memuaskan kerana masyarakat Melayu masih keterbelakang jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain. Bilangan masyarakat Melayu yang berjaya setakat ini masih terlalu kecil. Hanya segelintir sahaja yang telah mengharumkan nama bangsa Melayu tetapi ramai yang memalukan bangsa.

'Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Peribahasa tersebut masih relevan di marcapada ini dan tidak akan lapuk kerana manusia akan sentiasa mengingati keburukan sahaja. Jelas membuktikan bahawa kesan daripada keburukan itu lebih ketara.

Sewajarnya, masyarakat Melayu harus mencontohi kejayaan yang dikecapi oleh Natasha Nabilah, dua-adik beradik 'SOKHA' dan yang lain-lain lagi untuk terus mara ke hadapan. Masyarakat Melayu harus bangkit dan memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagunya.

Memang dahulu, masyarakat Melayu amat dikenali dengan nilai etikanya, tatasusila dan sifat yang pemalu tetapi nilai-nilai tersebut telah pun pupus. Sudah lapuk ditelan zaman. Mungkin juga, sudah luput di ingatan sesetengah orang kerana perbezaan nilai masyarakat Melayu hari ini amat ketara. Malahan, masyarakat Melayu lebih liberal jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain.

Hal yang sedemikian boleh dilihat menerusi pemakaian, perawakan, perwatakan dan pertuturan masyarakat Melayu. Pakaian seksi Maha Seksa, bahasa lucah, kesat, kasar dan sebagainya.

Namun demikian, hanya segelintir masyarakat Melayu yang masih menjaga tatasusila dan etika. Bilangannya tidak ramai jika dibandingkan dengan golongan yang seperti tidak bertamadun.

Mungkinkah kiamat sudah dekat..?

salam,
Siti Nurul Aiin

John Jenin said...

Masalah utama yang kita terpaksa hadapi adalah kemelut mempertahankan kepercayaan dan budaya di dalam sebuah masyarakat moden. Berbeza dengan Indonesia yang dijajah oleh Belanda, kita telah melalui penjajahan oleh Inggeris yang meracuni minda melalui ideologi. Kemenangan kebudayaan yang dicapai oleh British ketika datang berdagang telah merosakkan daya mentaliti orang-orang Melayu, merendahkan martabat kebudayaan dan bangsa sendiri.

Selain itu, British juga menghadkan pemikiran bebas orang-orang Melayu dengan menggunakan Sultan/Raja sebagai terusan utama bagi mencapai kejayaan "status quo". Dahulukala, segala yang dilakukan oleh Sultan/Raja dianggap betul dan Melayu setempat kurang memberontak asalkan "tidak menyusahkan" mereka.

Akibat itu, jangkauan terhadap kedatangan bangsa India dan Cina ke tanah Melayu tidak dianggap sebagai satu ancaman terhadap kedudukan anak watan. Kesenangan yang diperolehi ketika orang-orang Cina datang untuk bekerja lembur di lombong biji timah di tanah Melayu telah memberikan status elita kepada orang-orang Melayu, yakni, "mereka bekerja untuk kami' sedangkan yang mengaut untung adalah British melalui East India Company.

Sistem yang berkesan untuk mengawal anak watan ini masih berterusan di Singapura dan Malaysia ketika LKY dan Dr M mengambil alih pucuk kempimpinan dan duduk di takhta buat masa yang lama. Sistem menghadkan pemikiran telah memberikan kemakmuran kepada negara-negara berkenaan di bawah pentadbiran mereka namun, masalah kronisme pula mula muncul dengan adanya satu kumpulan yang mempengaruhi arah tujuan pemikiran rakyat jelata.

Isu HINDRAF dan Barisan Alternatif di Malaysia adalah contoh utama sekiranya pucuk kepimpinan tidak mengawal daya pemikiran rakyat jelata. Barisan Nasional kini di dalam satu kedudukan yang goyah disebabkan oleh kebebasan pemikiran yang semakin berleluasa. Disebabkan oleh zaman teknologi maklumat, rakyat mula mempraktikkan kebebasan bersuara di alam maya. Kekurangan pemantauan yang dilakukan dan sikap tidak menerima kritikan dari "netizens" oleh pucuk kepimpinan Melayu di Malaysia telah menyebabkan keadaan kacau bilau yang sedang berlaku sekarang.

Pemerintah Singapura telah berjaya mengawal pemikiran kritis rakyat mereka bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara. Namun, ini memberikan satu implikasi yang buruk. Walaupun berjaya dalam bidang akedamik, para pelajar Singapura tidak mempunyai daya pemikiran kritis yang tinggi dan ini menyebabkan mereka kurang berkebolehan dalam mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah kepada pekerjaan masing-masing.

Situasi yang tidak ideal dan sering dihadapkan dengan masalah-masalah yang luar dugaan dan jangkaan telah menyebabkan kualiti pekerja di Singapura semakin kurang nilainya. Fenomena "Minah Karan" di Singapura menunjukkan sejauh mana kemampuan rakyat Melayu Singapura, yakni membuat pekerjaan yang hanya sehaluan, tanpa banyak cabaran.

Gesaan pemerintah Singapura untuk berfikir di luar kotak baru-baru ini adalah satu idea yang baik namun, ia akan menggalakkan pemikiran bebas dan idealogi yang mungkin akan menyebabkan ketidakstabilan negara. Untuk mengelakkan perdebatan mengenai isu-isu kepimpinan dan dasar-dasar pemerintah, pucuk kepimpinan Singapura telah berjaya menyampaikan doktrin kepada rakyatnya.

Isu "bartop-dancing" dan "seks oral" yang telah diluluskan oleh pemerintah telah seolah-olah memberikan gambaran bahawa pemerintah tidak mahu menghadkan kebebasan rakyat namun, isu perkahwinan sejenis (homoseksual) pula sengaja dibangkitkan untuk memalukan golongan yang "memberontak". Ketika diusulkan untuk meluluskan dan membenarkan perkahwinan sejenis ini, pemerintah telah berdebat secara terbuka dan telah memalikan golongan tersebut. Mereka diberikan harapan bahawa keinginan mereka akan tercapai dengan adanya perubahan terhadap dasar "kasino" dan masyarakat terbuka di Singapura. Sebaliknya, mereka telah menjadi subjek perbincangan di setiap tahap masyarakat dan kemudiannya ditolak secara blat-bulat oleh pemerintah.

Stigma yang diketengahkan pemerintah telah sekali lagi menghadkan pemikiran bebas dan kritis kerana, pemikiran bebas yang diberikan sekarang ini adalah pada tahap yang membangunkan negara dan mengekalkan "status quo" pemerintah.

Masyarakat Melayu yang pada awalnya sudah dimatikan semangat pemikiran kritis pada zaman raja-raja masih lagi kekurangan pemikir yang berani mengetengahkan isu-isu secara terbuka dan bukan setakat perbualan "opression" di warung kopi sahaja.

Pucuk kepimpinan adalah faktor utama. Sekiranya isu-isu yang hanya berani dibangkitkan di warung kopi berjaya dipertingkatkan ke sidang parlimen, tentunya pelbagai perubahan besar akan berlaku bagi masyarakat Melayu setempat yang mempunyai banyak potensi.

Selagi itu tidak berlaku, perdebatan warung kopi ini akan berterusan dari pagi hingga ke petang.

John Jenin said...

seperti yang sering saya bangkitkan dalam kelas, siapa itu "mereka"? "diorang" tu siapa? kadangkala, sedang kita mengentengahkan isu-isu masyarakat, kita lupa bahawa kita sedang memperkatakan tentang orang-orang kita sendiri. dengan senang wenang kita mengutuk dan menghina mereka yang tidak selaras dengan kita yang kononnya berwibawa, bertauliah, elita dan sejahtera.

pernahkah kita persoalkan, bagaimana pula dengan aku di luar bilik darjah? bagaimana pula dengan aku di luar blogsphere ini? rakan-rakan aku bagaimana? dengan mudah kita menaip dengan susunan kata-kata indah, nukilan dari sumber-sumber yang hebat-hebat dan tersohor, tapi apakah yang dilakukan oleh kita apabila menjejakkan kaki keluar dari sfera "elita" itu?

kadangkala kita lupa, kita adalah antara punca tersebut. seperti yang akan dikatakan oleh "matrep" dan "minahrep", lu banyak bunyi je.

jadi, saya persoalkan. sejauh manakah tahap hipokrasi kita sebagai seorang umat Islam dan anak watan berbangsa Melayu (bertutur bahasa, mempraktikkan budaya dan beragama Islam)? adakah kita mengetengahkan pendapat dan pandangan hanya sekadar untuk mendapatkan markah di dalam esei dan tugasan ini?

terlalu banyak hiprokrasi di dalam masyarakat kita. yang tikam-menikam belakang orang lain ada, yang kuat mengeksploitasi lain pun ada, yang memijak kepala orang lain untuk memanjat tangga kejayaan pun ada.

seharusnya, kita sepatutnya menanam semangat "members' di dalam masyarakat kita seperti yang berjaya dilakukan Zionis dan bangsa Cina. Jaga satu sama lain. Dan satu sama lain di sini membawa maksud, masyarakat Melayu secara keseluruhan. Bukan "members' sendiri sahaja.

Kita, mereka, aku dan kau, harus belajar menerima kritikan secara terbuka. Untuk menjadi lebih progresif. Bukan hanya memilih kata-kata yang sesuai dari sebuah ayat berbentuk nasihat, kemudian digunakan untuk mengukuhkan ideologi dan status quo sendiri.

Makan berkawan, bukan makan kawan. Mungkin itu yang harus kita tekankan kepada anak murid kita nanti.

semoga kita mencerminkan diri, dan infleksi diri.

Unknown said...

Istilah "makan berkawan, bukan makan kawan" sememangnya mudah untuk diungkapkan. Tetapi disebalik istilah tersebut, ramai yang gagal untuk melihat punca disebaliknya.

Jika hendak meggunakan masyarakat Cina sebagai contoh untuk membuktikan semangat 'members' sebagaimana yang dikatakan, mungkin kita harus bertanyakan kembali mengapa agaknya ia tidak dapat dilakukan dalam masyarakat Melayu? Bukankah sejak dahulu lagi masyarakat Melayu sering dikaitkan sebagai sebuah masyarakat yang bergotong-royong dan sebuah masyarakat berkumpulan?

Hakikatnya, sesetengah masyarakat Melayu cepat terasa dan merasakan diri mereka tersisir daripada masyarakat atau orang disekelilingnya. Melayu adalah bangsa yang mempunyai ego yang tinggi. Kesilapan sendiri selalu tidak ternampak, tetapi sebaliknya orang disekelilingnya malah teman seperjuangnya yang dipersalahkan. Kesalahan orang lain sering diungkitkan tetapi kesalahan sendiri disembunyikan. Bukankah ini dapat dilihat sebagi satu sikap yang hipokrit?

Masyarakat Cina mempunyai semangat 'members' kerana mereka tidak hipokrit dan pandai berkata-kata sahaja.

Jika ada yang ingin mempersoalkan, adakah kita mengetengahkan pendapat dan pandangan hanya sekadar untuk mendapatkan markah di dalam esei dan tugasan?

Jawapannya, berbalik kepada diri sendiri. Adalah lebih baik untuk mengetengahkan pendapat dan pandangan dalam tugasan daripada hanya pandai bercakap tetapi tidak berbuat apa-apa. Bukan begitu?

Sebagaimana yang dikatakan "semoga kita mencerminkan diri, dan infleksi diri."

Saya tahu, awak tahu, semua tahu. Pandangan teman-teman?

epitome of 'silence' said...

"Tong kosong, nyaring bunyinya"

Semangat 'members'? Mahu sahaja saya ketawa tergolek-golek.

Saya setuju dengan pendapat Hafizah bahawa orang Melayu memang pandai melihat kesilapan orang di sekelilingnya tetapi kesilapan sendiri tidak dilihat, bak kata pepatah 'kuman di seberang laut boleh nampak, gajah depan mata tak nampak'. Perkataan 'members' itu senang dilafazkan tetapi apakah makna di sebaliknya?

Bagaimankah kita boleh memupuk semangat 'members', sedangkan ada di antara kita 'yang tikam-menikam belakang orang lain ... yang kuat mengeksploitasi orang lain ... yang memijak kepala orang lain untuk memanjat tangga kejayaan ...'

Senang kita melafazkan kata-kata yang bertujuan menyedarkan mereka di sekeliling kita, namun demikian diri sendiri mengkhianati kawan atau 'members' 16 tahun dan tersenyum apabila melihat rumahtangga members(lelaki/perempuan)sendiri menuju ke arah keruntuhan.

Memupuk semangat 'members' mungkin dapat membendung masalah masyarakat Melayu. Definisi istilah 'members' harus direnung semula. Pembelot, pengkhianat, penipu dan pengampu, bagaimanakah kita dapat menghapuskan mereka?

Sesungguhnya 'susunan kata-kata indah, nukilan dari sumber-sumber yang hebat-hebat dan tersohor' sahaja tidak dapat menyedarkan mereka yang digelar HIPOKRIT.

Sebenarnya 'members' bukan teman makan sahaja, malah mereka adalah teman yang sentiasa memberi sokongan kepada 'members' lain yang sedang mengalami masalah dan tidak meninggalkan 'members' tersebut atau menganggapkan mereka sudah MATI.

Sebagaimana yang dikatakan "semoga kita mencerminkan diri, dan infleksi diri."

Saya memang tahu, awak juga tahu, kita semua tahu. TAHU-MENAHU nampaknya.

a & w said...

Menurut perspektif saya, masyarakat Melayu masih tidak mahu mengenepikan ego. Menuding jari kepada orang lain, walhal, diri sendiri yang bersalah.

Pokok tidak akan bergoyang jika tidak ada angin. Setiap tindak-tanduk manusia ada sebab muhasababnya. Setiap keputusan yang dilakukan, ada alasannya. Sebagai seorang insan, kita harus menerima alasan orang lain dan menghormati keputusannya. Adalah tidak wajar jika kita menempelak orang lain tanpa mencerminkan diri sendiri.

Maka, timbul pula pengampuan. Mengampu. Mengampu juga mencerminkan hipokrasi seseorang. Mengampu untuk mendapatkan sesuatu. Segolongan masyarakat Melayu rela menjadi pengampu. Bibir manis memutar kata. Secara tidak langsung, manusia yang mengamalkan sikap sedemikian akan rugi kerana mereka boleh bertukar wajah. Memakai topeng. Manusia topengan. Sekejap cakap lain, buat lain. Ceritanya akan sentiasa berubah setiap hari. Lambat laun, orang akan tahu juga wajah mereka sebenar. Yang sebenar-benarnya.

Memang, tiada manusia yang sempurna. Manusia tidak akan lepas dari kesilapan. Tuhan menjadikan manusia untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru, manusia saling memerlukan. Harus bertolak ansur. Perkara yang baik harus dijadikan sebagai satu teladan, yang buruk itu satu sempadan.

Terlajak perahu boleh diundur kembali, terlajak kata buruk padahnya. Semua orang inginkan markah yang terbaik. Kita satu kelas telah banyak bersabar. Kita juga manusia, yang mempunyai perasaan. Kesabaran itu ada batasannya. Tiada gunananya mengungkit kisah silam jika tidak mempelajari dari kesilapan. Perkara yang berlaku, sudah pun berlalu..

-Siti Nurul Aiin

Nur Wahidah Binte Sidik said...

Memang tidak boleh dinafikan bahawa minda Melayu Singapura dan minda Melayu Malaysia tidak banyak perbezaan. Sejarah telah membentuk pemikiran mereka. Malaysia dan Singapura telah melalui pengalaman yang sama iaitu penjajahan – penjajahan Inggeris dan juga penjajahan Jepun lantas, minda mereka hampir selaras. Sedangkan Melayu Malaysia sibuk dengan pameran hantu mereka, Melayu Singapura sibuk pula dengan hiburan walaupun pada bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bahawa pemikiran mereka hampir selaras kerana mereka lebih mementingkan dunia mistik dan dunia hiburan lebih daripada pendidikan dan pembangunan diri. Haruskah kita menuding jari kepada sejarah dan mempersalahkan sejarah sahaja?

Namun, tetap ada segelintir masyarakat Melayu Singapura yang membiarkan diri mereka keterbelakangan seperti yang dikatakan oleh saudari Mazuin. Masalah ini boleh dilihat kerana masyarakat Melayu Singapura mempunyai kadar penceraian yang tertinggi di Singapura dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain. Masalah-masalah sosial seperti penghamilan remaja, kahwin muda dan ibu tunggal muda di kalangan masyarakat Melayu juga semakin meningkat. Adakah pemikiran yang terkebelakang ini sama dengan masyarakat Melayu Malaysia?

Dari segi pendidikan pula, Melayu Singapura lebih agak maju daripada Melayu Malaysia. Ini berlaku kerana dasar pemerintahan Singapura yang menitikberatkan pendidikan untuk kemajuan negara. Kini, setiap ibu bapa di Singapura wajib memasukkan anak-anak mereka ke sekolah jika tidak mereka akan didenda. Akibat pengaruh pemerintah ini maka semakin ramai Melayu Singapura menyedari kepentingan pendidikan maka lahirlah pelajar-pelajar Melayu bijak seperti Natasha Nabilah. Adakah dasar pemerintahan di Malaysia sama dengan dasar pemerintahan di Singapura? Hanya sejak kebelakangan ini sahaja pemerintah Malaysia mementingkan pendidikan dengan menguatkuasakan penggunaan bahasa Inggeris iaitu bahasa pendidikan universal di negara mereka. Ini agak terlambat dibandingkan dengan Singapura.

Dari segi perkauman, Singapura juga mempunyai masalah perkauman sejak dahulu lagi. Namun, Melayu Singapura berjaya mengetepikan perbezaan kaum demi kepentingan negara. Isu-isu seperti peratusan orang Melayu di kawasan perumahan HDB yang hanya 15% masih ketara di Singapura namun orang Melayu Singapura tidak memberontak kerana terdapatnya isu-isu penting lain yang harus ditangani.

Ini menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat atau bangsa itu tidak harus mempersalahkan sejarah dek keterbelakangan mereka sendiri. Mereka mempunyai kuasa untuk memperbaiki kehidupan mereka sendiri dan tidak harus menyerahkan tanggungjawab mereka kepada pemerintah negara sahaja.