Wednesday, March 19, 2008

Pengertian Minda Melayu Malaysia

RENCANA (Berita Harian Singapura : 6/2/02)

ULASAN -- Salah seorang pemikir besar Melayu, Profesor Diraja Ungku Aziz , yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80, telah mengungkap pengertian minda Melayu di Malaysia. Berikut sedutan makalahnya daripada Utusan Malaysia baru-baru ini yang bertajuk Tragedi Pemikiran Melayu.

PENGERTIAN MINDA MELAYU DI MALAYSIA

Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Zaman penjajah

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah Britain menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Demikianlah pengaruh penjajah. Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza daripada Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa? Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiring mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada abad ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan Britain. Ini bukan rahsia lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul. Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana Britain berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu ketika penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudian gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Selepas merdeka

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah Britain. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi -- daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudian budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini. Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya. Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Minah Karan

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kilang kepada beratus-ratus ribu orang terutama untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang. Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada kerjaya baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, tren semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Tren ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

13 Mei 1969

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri Britain, Cik Margaret Thatcher, hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam Umno mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan. Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang. Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

SEKIAN

31 comments:

Fadilah Bte Abd Malik said...

Sebuah ulasan yang amat membuka minda.

Noorhaqmal Bin Mohammed Noor said...

Fadilah Bte Abd Malik said...
"Sebuah ulasan yang amat membuka minda."

Sebuah artikel yang memang membuka minda dan membuat kita berfikir sejenak. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa artikel ini hanya berjaya membuka minda sesetengah masyarakat Melayu yang benar-benar berfikir tentang bangsanya.

Mungkin artikel ini akan lebih berkesan sekiranya penulis dapat menyelitkan saranan yang baharu atau "fresh" jika penulis bertujuan ingin menyedarkan pembacanya.

Saya juga berpendapat bahawa orang Melayu sentiasa terlalu berfikir 'untuk' masyarakatnya tetapi masyarakat Melayu sendiri malas untuk berfikir bersama-sama.

-Noorhaqmal Mohammed Noor-

aTiKa FaRaSha said...

Sememangnya sebuah artikel yang dapat direnungkan bersama-sama. Aqmal telah mengatakan bahawa msyarakat Melayu sendiri malas untuk berfikir bersama-sama. Mengapa agakanya ini berlaku?

Ini adalah kerana kejayaan masyarakat Melayu hanyalah berputar di arena hiburan. Singapore Idol 1. Singapore Idol 2.Semuanya didominasikan oleh masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sanggup mengahbiskan masa dan wang demi meletakkan artis pujaan mereka di 'puncak kemegahan orang Melayu'.

Masyarakat yang sering diklasifikasikan sebagai masyarakat yang malas hendak berfikir ini masih terkinja-kinja mencari arus yang boleh meletakkan mereka di tempat yang dianggap mewah.

Masyarakat Melayu meletakkan kayu pengukur buatan mereka sendiri dan berusaha mencapainya. Akhirnya masyarakat Melayu berjaya menempa nama di arena hiburan di dalam dan luar negara, di dalam carta jenayah negara dan sebagainya. Inilah kejayaan masyarakat Melayu.

Akhir sekali, sebagai masyarakat Melayu, 'tepuk dada tanya selera'.

-Siti Nuratika-

Anggerik Melur Teratai said...

Seperti di dalam artikel, sikap masyarakat Melayu kini adalah akibat pembendungan budaya yang tidak mendesak masyarakat untuk berfikir dan untuk bekerja dengan lebih keras. Akibatnya, hari ini, kita lihat orang Melayu unggul di arena yang kurang kepentingannya seperti kata Atika. Orang Melayu sibuk mengejar nama dan hiburan, dan MERELAKA urusan penting seperti pentadbiran negara dan hidup mereka kepada bangsa lain. Dan apabila kuasa pemerintahan itu ada pada bahu mereka, mereka tidak menggunakan jawatan dan kuasa itu dengan bijak, dan hanya mementingkan kepentingan diri mereka. Lihat sahaja kekecohan dan porak peranda yang kian melanda sebuah negara yang baru sahaja menjalani undi. Lihat sahaja telatah badut-badut itu yang menjadi bahan tawa dunia. Memang orang Melayu hanya pandai mengalatkan diri mereka, dari dahulu hingga kini, keadaan tetap sedemikan.

Namun demikian, tidak semua orang Melayu yang bersifat demikian. Ada yang sempat celik mata. Mereka sedar akan kepentingan sebenar. Contoh yang paling baru ialah Encik Suhaimi Rafdi yang telah memegang jawatan sebagai CEO Cathay Organisation Holdings. sebuah syarikat pawagam gergasi yang telah melebarkan sayap ke beberapa negara. Liputan wawancara mengenai beliau telah disiarkan di dalam akhbar Berita Minggu. Encik Suhaimi telah memulakan kehidupan dengan latar belakang yang sederhana namun demikian beliau telah berjaya. Bukan orang Melayu tidak boleh. Orang Melayu hanya perlu menilai antara duri dan permata, dan harus sentiasa bangun agar tidak kekal di takuk lama dan kancah kemusnahan yang akan menggadai bangsa.

Anggerik Melur Teratai said...

Nama sebenar Nikanna Zee ialah Nur Izziana Kamaruddin

epitome of 'silence' said...

Sememangnya orang Melayu mempunyai kebolehan dan berupaya mengecapi kepakaran dalam segala bidang yang mereka ceburi, seperti contoh yang diberikan izziana iaitu, Encik Suhaimi Rafdi. Bukan tiada orang
Melayu yang memeganag jawatan CEO, sedangkan di Singapura kita ada menteri-menteri Melayu yang bekerjasama dengan pihak pemerintah, tetapi di manakah tokoh-tokoh 'unggul' ini dalam membangunkan bangsa? Apakah mereka seperti boneka bernyawa yang sia-sia sahaja memegang jawatan tinggi?

Pihak penjajah tidak seharusnya disalahkan kerana pemikiran orang Melayu yang sempit dan sikap mereka yang tidak 'forward-looking.' Sesungguhnya bangsa Cina dan India juga melalui pemerintahan penjajah, tetapi pemikiran mereka lebih luas dan mereka kerap merancang untuk masa hadapan. Mengapakah orang Melayu tidak boleh berbuat demikian? Sebenarnya masyarakt Melayu mempunyai sikap senang berpuas hati(complacency). Sikap ini bagaikan epidemik yang tidak terkawal di kalangan masyarakat Melayu.

'Complacency' merupakan faktor utama yang menyebabkan keruntuhan orang Melayu yang senang berpuas hati dengan pencapaian mereka. Lihat sahaja Sultan-sultan Melayu yang pernah memegang kuasa dan kekayaan yang menyeluruh. Mereka merupakan golongan pemerintah pertama pulau Temasik. Mereka diperbodohkan pihak penjajah yang sewenang-wenangnya melucutkan kuasa dan daulat seorang Sultan kerana sikap Sultan yang berpuas hati dengan statusnya dan berasa pasti bahawa darjat Sultan itu hanya layak untuk dirinya.

"Takkan Melayu hilang di dunia" acap kali kekata Hang Tuah dilafazkan untuk memupuk semangat kebangsaan dalam diri orang Melayu. Sudah tiba masanya masyarakat Melayu sedar akan situasi mereka yang semakin menjunam dan melakukan sesuatu untuk memperbaiki situasi tersebut.

epitome of 'silence' said...

Ini Nur Mazuin.

Ring0 said...

Saya memang telah menduga akan kemunculan ungkapan kata watak 'hero' Hang Tuah kita dalam perbincangan ini. Bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Ini semua berbalik kepada soal kepimpinan. Mengapa sejarah Melayu seperti yang dilagukan dengan indahnya dalam sastera epik yang diagung-agung kita selama ini hanya bertitik tolak daripada gerangan seorang wira sahaja?

Mungkin kerana masalah pendokumentasian, mungkin kerana masyarakat yang kurang peka akan kepentingan penulisan, tetapi mungkin jugakah ia akibat diri kita sesama sendiri yang setelah menjalani proses introspeksi, mendapati memanglah tiada di kalangan kita, sama ada dahulu atau dewasa ini, yang berketrampilan dan wajar diamanatkan penganugerahan darjat 'tokoh' wira yang boleh dijadikan sandaran dan pedoman perjuangan bangsa?

Jangan dikatakan pula akan perihal watak 'hero' yang amat disangsikan nilai-nilai 'keperwiraaannya' yang berlandaskan kesetian buta yang berpaksikan unsur feudalisme.

Sultan dan Raja dibaculkan tanpa disedari kita suatu waktu ketika, usah pula kita kini berfantasi berdarah wira satria sambil berlangirkan sumpah khurafat semata.

-herwanto

epitome of 'silence' said...

Saya menggunakan zaman kesultanan dan Hang Tuah sebagai contoh kerana berpendapat bahawa pada zaman itulah masyarakat Melayu mempunyai kuasa dan pada zaman itu juga masyarakat Melayu hilang status dan darjat sebagai pemimpin sebuah negara. Tambahan, artikel "Pengertian Minda Melayu Malaysia" menggunakan zaman penjajahan sebagai salah satu faktor yang mengakibatkan masyarakat Melayu berfikiran sedemikian, walhal cara pemikiran seseorang yang sempit itu tidak semestinya kerana kesilapan orang lain tapi terletak kepada individu itu sendiri.

Pihak penjajah tidak boleh memperbodohkan Sultan-sultan dan masyarakat Melayu sekiranya mereka mempunyai daya intelek yang tinggi dan tidak membenarkan diri mereka dipergunakan sedemikian rupa. Pihak penjajah telah berjaya menakluki masyarakat Melayu kerana kesilapan mereka sendiri. Sekiranya kekata Hang Tuah dianggap kurang relevan dalam zaman moden ini, saya akan menggunakan kekata Encik Azimi Daim, seorang ahli politik Malaya dan Ketua Sayap Belia UMNO, "When tension rises, the blood of Malay warriors will run in our veins."

Mungkin kekata ini dianggap lebih relevan dalam membangkitkan semangat masyarakat Melayu zaman sekarang supaya mempertingkatkan kehidupan mereka dan memperbaiki situasi mereka.

Ring0 said...

Saya amat bersetuju dengan pandangan anda mengenai isu intelek sebagai benteng terkukuh bangsa. Sebenarnya saya cuma mempertikaikan penggunaan dan kemunculan unsur Hang Tuah, yang mewujudkan unsur non sequitur dalam setiap ruang lapangan perbincangan yang berkenaan dengan pembangkitan semangat Melayu dalam usaha mencapai menara gading.

Namun demikian, saya tidak bersetuju dengan anjuran 'pemimpin' atau cendekiawan Melayu yang terlalu menitikberatkan isu 'semangat' sebagai inti kecemerlangan bangsa. Di utara sahaja, kita dapat menyaksikan pergolakan semiotik 'keris' dalam usaha untuk memamapah undian politik. Malah Encik LKY sendiri telah mempatrikan pandangan ini dengan mengatakan bahawa penggunaan Bahasa Melayu itu penting dan tidak harus dipinggirkan kerana tindakan sedemikian akan mematahkan 'semangat Melayu'.

Ini semua mengukuhkan pandangan anda (dan saya sekaligus) akan kerapuhan intelek yang turut dibebankan dengan pemikiran bangsa yang tidak 'rugged' dalam mengharungi cabaran.

Perlukah 'semangat' untuk berjaya ini diapi-apikan oleh 'pemimpin' bangsa semata? Bukankah sebagai bangsa yang kuat ikatannya dengan agama, kita sudah mempunyai 'pemimpin' dan galakan yang sebaik dan sekudusnya sebagai pemacu keimanan, kedaulatan dan kekeramatan bangsa?

Mungkin kini istilah 'penjajah' harus dikemaskinikan dan dipalitkan dalam pemikiran bawah sedar masyarakat Melayu seluruhnya. Yang telah dijajah itu hanya akan terus dijajah jika dibiarkan dijajah.

-herwanto

Umi said...

Salam.

Berbalik kepada komen atika dan izziana yang mengatakan bahawa kejayaan melayu hanya berputar di arena hiburan, mungkinkah ini disebabkan rasa terkilan mereka untuk menonjolkan kebolehan mereka yang ‘disekat’ penjajah Britain suatu ketika dahulu?
Mungkinkah mereka menganggap bahawa sudah tiba masanya untuk mereka membuktikan kebolehan mereka yang dapat menjamin kedudukan pertama dalam industri hiburan.

Pada pendapat saya, pemikiran mereka inilah yang telah mengakibatkan orang-orang melayu setapak kebelakang berbanding dengan bangsa-bangsa lain kerana mereka masih sibuk hendak membukitikan kebolehan mereka sementara yang lain sedang sibuk meningkatkan diri untuk sesuatu yang lebih baru dan memanfaatkan.

Penulis ada mengatakan bahawa pembangunan melalui wang ringgit itu tidak betul kerana ia tidak lagi menunjukkan jiwa melayu untuk membangunkan orang-orang melayu. Saya kurang setuju dengan pendapat itu kerana jika dilihat pada usahawan Encik Suhaimi Rafdi, beliau boleh dijadikan inspirasi bagi orang-orang melayu yang lain untuk membangunkan diri.

Saya percaya, orang melayu sudah menyedari bahawa masa untuk ‘membuktikan’ sudah pun tamat dan kini mereka sedang menuju kearah pembangunan diri.

epitome of 'silence' said...

Hang Tuah bukanlah watak sesuai untuk membangkitkan semangat orang Melayu, sedangkan dirinya dipergunakan oleh Sultan yang kita anggap bodoh dan jahil.Namun demikian kekatanya mengenai kewujudan masyarakat Melayu sememangnya bertujuan membangkitkan semangat orang Melayu.

Tidak boleh dinafikan bahawa semangat sahaja tidak dapat membangunkan sesebuah negara apatah lagi sekelompok masyarakat, tetapi semangat merupakan asas permulaan peningkatan masyarakat tersebut.

Sememangnya semangat mempunyai pelbagai implikasi. Ada kalanya semangat itu menjadi pemangkin sesebuah masyarakat/individu dalam mengecapi kejayaan, tetapi ada kalanya semangat itu hanya dijadikan dasar lamunan dan impian semata.

Dewasa ini, istilah semangat hanyalah diksi sahaja yang tidak mempunyai sebarang kesan kepada mereka yang mendengarinya. Definisi semangat sudah dimamah zaman dan masyarakat sudah lepa akan kepentingan semangat dalam sesebuah masyarakat.

Saya bukanlah pro-semangat mahupun 'fanatic' semangat tetapi saya percaya bahawa ia adalah asas kepada setiap tindakan yang diambil. Sebagaimana yang dikatakan Adolf Hitler "If freedom is short of weapons, we must compensate with willpower"

Wani said...

Merujuk kepada komen yang dibuat oleh Amirah, saya ingin bincangkan lagi tentang dengan pendapatnya yang mengambil Encik Suhaimi Rafdi sebagai inspirasi kepada orang Melayu supaya mereka membangunkan diri. Encik Suhaimi Rafdi berjaya membangkitkan bidang hiburan di Malaysia dan sekali lagi, ini menunjukkan kepentingan dalam memajukan dunia hiburan.

Memang benar kebolehan Melayu ‘disekat’ oleh penjajah Inggeris pada suatu masa dahulu. Walau bagaimanapun, mengapa kebolehan yang mereka memaparkan sekarang kebanyakkannya lebih cenderung kepada hiburan? Tidakkah ia lebih afdal sekiranya kebolehan mereka itu diarahkan kepada perkara yang lebih berfaedah dan lebih memanfaatkan seperti sains dan teknologi?

Walau bagaimanapun, sekiranya Melayu lebih berkebolehan dalam bidang hiburan, mereka boleh menggunakan kebolehan mereka itu untuk meraihkan manfaat yang lebih banyak.

Kebolehan dalam dunia hiburan tidak semestinya tertumpu kepada hiburan yang santai semata-mata sahaja. Hiburan itu boleh diselitkan dengan unsur-unsur didaktik yang dapat memupukkan semangat berkhidmat kepada orang Melayu. Hiburan juga dapat memaparkan kemajuan sains dan teknologi dalam filem-filem yang boleh meningkatkan kemahiran orang Melayu. Dengan cara ini, hiburan dapat memperjuangkan imej Melayu itu sendiri.

Unknown said...

"..orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri."

Realiti ini sememangnya membimbangkan. Sekiranya orang Melayu sendiri sudah tidak lagi mengambil berat tentang bangsanya sendiri, ke manakah hala tuju generasi bangsa Melayu pada masa akan datang? Apakah bangsa Melayu adalah bangsa yang mementingkan diri sendiri?

Mungkin salah satu penyebabnya adalah kurangnya semangat kebangsaan dan 'kekitaan' dalam diri bangsa Melayu.

Sebagaimana yang diperkatakan oleh Mazuin, dia mempercayai bahawa semangat adalah asas kepada segala tindakan individu. Hilangnya semangat, bermakna hilanglah sudah keyakinan dan kepercayaan diri serta bangsa.

Lagenda Hang Tuah sebagimana yang disebut-sebutkan wajar dijadikan sebagai satu lambang atau epitome Melayu. Hang Tuah memaparkan semangat Melayu; simbol kepahlawanan Melayu. Bagaimanapun watak Hang Tuah itu tidak sempurna sifatnya sehinggakan ada yang menyifatkannya sebagai pengampu, pengecut dan tidak berani bersuara kerana takut menderhaka. Sifat-sifat Hang Tuah ini dapat dilihat masih kekal menebal di benak hati masyarakat Melayu yang hingga kini masih takut untuk bersuara dan bertanya kerana takut salah. Disebabkan itu, masyarakat Cina dan India telah jauh meninggalkan kita di belakang.

Penjajah tidak wajar dipersalahkan memandangkan bangsa Cina dan India turut sama melalui pemerintahan penjajahan. Masyarakat Melayu harus perlu mewujudkan dan memupukkan sifat 'komitmen' dalam diri mereka untuk menghapuskan segala tanggapan negatif mengenai pemikiran Melayu.
Sememangnya orang Melayu itu berkebolehan dan mempunyai minda yang canggih dan saya percaya segala apa dapat direalisasikan sekiranya sikap bebalisme dihapuskan dari minda mereka.

-hafizah-

ShineStar said...

artikel ini bertujuan untuk membuka minda masyarakat Melayu. tetapi yang menjadi persoalan di sini, adakah orang Melayu akan mengambil berat dan mengambil kira tentang artikel ini?


ramai orang Melayu pada hari ini hanya mementingkan diri sendiri sahaja. masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan pencapaian yang ingin dimiliki. budaya dan tradisi serta pemikiran bangsanya sendiri tidak lagi diperdulikan. masing-masing hanya memikirkan tentang masalah meraka dan bagaimana mereka dapat mengecapi apa yang diingini seperti pepatah inggeris yang agak kasar "saving my own butt".


seperti yang dikatakan oleh aqmal, "Saya juga berpendapat bahawa orang Melayu sentiasa terlalu berfikir 'untuk' masyarakatnya tetapi masyarakat Melayu sendiri malas untuk berfikir bersama-sama."


pada pendapat saya, masyarakat melayu memang "memikirkan" masalah bangsanya tetapi yang dimaksudkan memikiran ialah bulat-bulat hanya memikirkan sahaja tetapi tidak menyelesaikannya. banyak artikel dan rancangan di televisyen serta radio yang mengetengahkan masalah bangsa melayu tetapi tiada perubahan yang berlaku ini kerana masyarakat melayu hanya mampu membincangkan masalah bangsanya sahaja tetapi tidak mampu menyelesaikannya.


melihat komen atika dan izziana yang mengatakan bahawa orang-orang melayu hanya mementingkan dunia hiburan. pada pendapat saya, tidak salah lah jika orang-orang melayu mementingkan dunia hiburan jika itulah kekuatan mereka dan bakat mereka. tidak semua orang mampu melakukan segala pekara yang dilakukan orang lain. jika dunia hiburan dapat mendatangkan keuntungan yang besar dan berbaloi kepada orang-orang melayu, mengapa tidak mereka teruskan.


rezeki datang di mana-mana sahaja. yang penting ialah usuha gigih. saya pasti bahawa orang-orang melayu yang melibatkan diri dalam dunia hiburan berkerja keras dan rajin berusaha untuk memperbaiki diri mereka dan mempertahankan kedudukan mereka di arena hiburan, satu-satu arena yang menjadi sumber pencarian seharian mereka. seharusnya kita menyokong akan bakat masyarakat kita sendiri. mengapa harus kita sanjungi dan berbangga atas bakat penyanyi-penyanyi dan pelakon-pelakon barat sedangkan bakat artist-artist bangsa kita sendiri kita ketepikan dan mengutuk mereka.


pendek kata, masyarakat melayu memang masih berfikiran konservatif dan berat sebelah. mereka melihat kejayaan bangsa lain sebagai satu kebangaan tetapi kejayaan bangsa sendiri tidak dihiraukan malah dikritik. masyarakat melayu seharusnya lebih bersepakat dengan masyarakatnya sendiri untuk menyokong satu sama lain di mana-mana bidang yang mereka ceburi. yang penting ialah rajin berusaha dan kerja keras.


masyarakat melayu harus keluar dari belengu pemikiran bahawa apa yang dilakukan bangsa-bangsa lain adalah sesuatu yang membanggakan dan harus dicontohi, apa-apa yang dilakukuan bangsa lain pasti akan berjaya. sepatutnya masyarakat melayu harus lebih yakin akan kebolehan masyarakat mereka sediri dan terus memberi sokongan. dengan mendapat sokongan bangsanya sendiri, masyarakat melayu akan terus rajin berusaha untuk tidak menghampakan mana-mana pihak. masyarakat melayu seharus berani menceburi apa sahaja bidang yang mereka rasakan mereka mampu melakukannya dan masyarakat melayu harus menghapuskan sikap negatif.

-Shainas Bte Hassan

Fadilah Bte Abd Malik said...

Sememangnya berdasarkan catatan sejarah, masyarakat Melayu telah dijajah olh pihak British dan merupakan taktik jahat mereka untuk mendodoikan dan melekakan masyarakat Melayu dengan hiburan agar mereka mundur dan keterbelakang.

Oleh sebab itulah masyarakat Melayu tidak dapat maju kehadapan. Tetapi, jika kita amati dengan teliti, samapai bilakah harus kita persalahkan pihak British tentang kemunduran bangsa kita sendiri? Adakah kesan daripada jajahan pihak British akan terus menerus dijadikan sebagai alasan untuk menutup kelemahan bangsa kita? Fikir-fikirkanlah bersama.

Sesungguhnya Allah swt tidak akan merubah nasib seseorang itu melainkan dia berusaha untuk merubah nasibnya sendiri.Oleh yang demikian masyarakat Melayu harus kikis sifat suka menyalahkan orang lain di atas kemunduran mereka.

ShineStar said...
This comment has been removed by the author.
ShineStar said...

saya bersetuju dengan pendapat fadila. seharusnya masyarakat melayu tidak sepatutnya menyalahkan orang lain. seperti yang dikatakan oleh penulis, masyarakat melayu mundur kerana penjajahan. memang benar waktu penjajahan masayakat melayu agak mundur kerana masyarakat melayu tidak berani menyuarkan sebarang rasa tidak puas hati dan tidak berani melakukan apa yang mereka ingin lakukan. apa sahaja yang ingin mereka lakukan akan disekat oleh penjajah.

tetapi bagaimana mana pula dengan masyarakat melayu generasi masa kini? masyarakat melayu tidak lagi dijajah oleh mana-mana pihak. siapa pula yang masyarakat melayu ingin mempersalahkan akan kemunduran mereka? meraka sudah merdeka dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka ingini dan mahu mengecapi.

sememangnya mereka harus menyalahkan diri sendiri bukan penjajah.

masyarakat melayu mudur kerana mereka tidak yakin akan kebolehan diri sendiri. mereka lebih selesa melihat kejayaan bangsa-bangsa lain. masyarakat melayu tidak berani menerima kegagalan dan tidak suka menerima kritikan yang sebenarnya boleh dijadikan ikhtibar untuk memperbaiki diri. mereka lebih selesa menyalahkan orang lain atas kegagalan atau kesilapan mereka sendiri.

-Shainas bte Hassan

epitome of 'silence' said...
This comment has been removed by the author.
epitome of 'silence' said...
This comment has been removed by the author.
epitome of 'silence' said...

Memperagungkan bangsa lain dan kejayaan mereka bukanlah sesuatu yang disengajakan. Hakikatnya kejayaan bangsa lain memang lebih relevan dalam konteks zaman sekarang yang semakin dinamik dan sentiasa menuju ke arah kemajuan.

Hiburan. Di situlah letaknya kepakaran masyarakat Melayu. Syabas! Sesungughnya kita telah mampu mengalahkan masyarakat bangsa lain yang tidak mempunyai bakat menyanyi atau berlakon sebagaimana orang Melayu kita mampu lakukan. Syabas! Kita telah memenangi pertandingan Singapore Idol dan membuktikan bahawa orang Melayu boleh menghiburkan hati para penonton dengan suara mereka yang lunak dan merdu bak buluh perindu.
Apakah itu yang dimaksudkan untuk membanggakan kejayaan orang Melayu?


'Telur sebiji riuh sekampung'

Ring0 said...

Bebalisme. Semangat. Hiburan. Singapore Idol. Asian Idol.

Jika semangat yang telah membawa para penghibur kita ke puncak kecemerlangan dalam hiburan, harus pula kita lihat sejauh manakah mereka dapat berkembang dan bertanding di persada dunia. Apakah yang membelenggu kemaraan mereka? Sekadar kurang sokongankah atau memang kayu akur yang dijadikan wahana penakrif ternyata terlalu 'pendek'?

Jika semangat Melayu yang menjadi pemangkin bagi masyarakat untuk mencurahkan sokongan terhadap penyanyi-penyanyi kegemaran kita sehingga berjaya di pelbagai pertandingan ini merupakan sesuatu yang positif, mengapakah semangat ini cepat pudar dihembus badai realiti?

Jika kejayaan di peringkat nasional dan serantau ini dikatakan pencapaian yang patut dibanggakan, ke manakah hala tuju pemenang-pemenang ini setelah ditabalkan johan? Sekadar jaguh kampung yang sekadar muncul di kaca televisyen untuk melariskan minuman manakala artis-artis bangsa lain yang tidak bermahkota menikmati hasil usaha dan semangat mereka di persada antarabangsa Hollywood dan di pasaran Jepun dan Taiwan?

Sememangnya ini yang membaculkan anjuran 'semangat' yang digembar-gemburkan sebagai pemangkin segala tindakan. Ketiadaan sandaran intelek yang dijana melalui sistem pendidikan yang menyeluruh akan seolah-olah membayangkan semangat Melayu ini sekadar sebatang lilin yang bersumbu, mudah dinyala, mudah pula dimatikan.

Apa yang diperlukan masyarakat dewasa ini adalah jentera penjana kuasa, yang berteraskan semangat untuk mencipta, daya pemikiran yang luas dan berteraskan ilmu di yang disaluti ilham dan teori sains yang kukuh yang bisa dijadikan penjana kuasa nuklear untuk memungkinkan ledakan kecemerlangan bangsa pada masa yang bakal muncul tiba.

-herwanto

Unknown said...

Sikap manusia dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan manusia jugalah yang membentuk keadaan tersebut.

Tidak dinafikan lagi, zaman kolonialisme dan kuasa asing yang datang menjajah melaksanakan eksploitasi kepada rantau Melayu ini. Namun demikian, wajarkah mereka dipersalahkan akan kelemahan mentaliti bangsa Melayu apabila Pemimpin Melayu sendiri pada waktu itu yang "merelakan" penjajahan berlaku.

Mana dia semangat Melayu yang diagung-agungkan?
Cukupkah semangat mempertahankan hak pada ketika itu?
Mana dia semangat Pemimpin ketika itu?
Mampukah hanya dengan semangat yang ada,mereka boleh mempertahankan kedudukan mereka?

Akibat kelemahan pemimpin sendiri, kuasa asing akhirnya berjaya membekukan corak dan batas-batas politik, kepimpinan dan pentadbiran yang ditentukan dan dipastikan oleh kuasa luar. Proses pembekuan menjadi asas pembentukan negara dan hanya dikembalikan apabila ianya sudah beku, sudah kaku dan sudah terbentuk oleh keadaan sebegitu.

Walhal, penjajahan adalah satu pencerobohan, mana dia kekuatan dan semangat pemimpin ketika itu untuk berlawan dan berjuang dalam penentangan penjajahan tersebut?
Mana dia semangat takkan Melayu hilang di dunia yang diagung-agungkan? Masih adakah semangat Melayu ketika itu apabila kepimpinan Melayu dan bangsanya sendiri hidup dibawah naungan bukan Melayu di tanah Melayu sendiri.
Maka, mengapa kata tentang dunia apabila semangat Melayu sebenarnya sudah hilang di tanah mereka sendiri.

Semangat hanya tinggal semangat yang tidak bernyawa. Hanya kata demi kata si Tuah yang bertuah, "Takkan Melayu Hilang di dunia". Ya, mungkin benar, takkan hilang Bangsa Melayu yang terus melayu. Mengapa Melayu melayu adalah sebab Melayu sendiri. Dari zaman penjajahan lagi.


Salah siapa, keadaan berubah? Salah si penceroboh atau yang membiarkan pencerobohan?
-----
Saya setuju dengan kata-kata Mazuin mengenai Hang Tuah.

Dahulu, dunia Melayu tidak dapat lari daripada "hidup dikandung adat, mati dikandung tanah".
Maka, disebabkan adat mendaulatkan sultan dan mengikut titah sultan, Tuah yang dilihat sebagai ikon dalam sejarah Melayu dan perwira menggadaikan segalanya demi sultan.
Jebat dilihat sebagai "pengkhianat" kerana membela Tuah dari Sultan.

Konsep perwiraan Hang Jebat merupakan konsep yang berani, keras hati, menentang feudalisme kerana ingin menegakkan keadilan.

Konsep perwiraan Hang Tuah pula berpihak kepada raja. Daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, Hang Tuah terlalu taat setia kepada Sultan dan boleh dikatakan membuta tuli. Taat setia yang sedemikian tidak memperhitungkan kepentigan orang lain bahkan kepentingan dirinya sendiri juga. Konsep Wira Hang Tuah ialah konsep wira Feudalisme ataupun wira tradisional. Beliau hanya gembira jika hati sultan gembira dan jika sultan murka, beliau akan cuba sedaya upaya untuk menambat hati Sultan.(Menurut buku;konsep wira dalam sastera Melayu)

Walaupun suruhan Sultan akan menyusahkan dirinya dan menyakiti hati orang lain, beliau sanggup berkhidmat apa jua kepada sultan.
Ini amat berbeza dengan Jebat yang akhirnya ingkar demi keadilan.

Kedua-dua wira ini boleh diletakkan di dalam konteks hari ini yang menggambarkan pemimpin Melayu yang hanya membuta tuli mengikut arahan dan suruhan demi menambat hati pihak atasan. Maka, mana dia keperluan bangsa?
Dan jika diteliti, mereka yang seikhlasnya ingin memperjuangkan dan membangunkan bangsa akan menghadapi pelbagai cabaran dan mungkin juga akhirnya tertindas dengan kuasa atasan.

Maka, mentaliti yang terbatas ini sebenarnya sudah ada dan ditanam sejak zaman dahulu lagi. Pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu berligar dengan suasana pemerintahan sultan kemudian pemeritahan kuasa luar. Tiada ruang untuk bebas berfikir kerana semuanya teratur dan terbentuk, hanya perlu mengikut demi penakatan.

Begitu juga dengan hiburan, mereka juga dikehendaki menghiburkan sultan dengan tarian dan sebagainya. Bangsa kita sudah hidup dalam kehidupan mengikut perintah, dan menghibur. Mereka tidak dibenarkan menyuarakan pendapat atau mungkin kebijaksanaan yang ada yang tersirat di dalam diri mereka kerana adat, mendaulatkan sultan.

Fikirkan, salah siapa sebenarnya?
Siapa yang menyempitkan minda bangsa kita pada mulanya?

Pada pendapat saya, unsur semangat yang diagungkan itu adalah semangat yang kabur.

wasalam.

cebisan minda saya,
Diyanah Hassan

Umi said...

Saya bersetuju dengan kata-kata Diyanah: "Namun demikian, wajarkah mereka dipersalahkan akan kelemahan mentaliti bangsa Melayu apabila Pemimpin Melayu sendiri pada waktu itu yang "merelakan" penjajahan berlaku." pendapat saya, tidak akan tercipta peribahasa 'Tak tahu menari dikatakan tanah tinggi rendah' kalau bukan sikap masyarakat itu yang suka menyalahkan orang lain bagi menutup kesalahannya sendiri.

Saya rasa, tak guna dibahaskan lagi mengenai pentadbiran atau penjajahan masa lampau sesungguhnya ia tidak akan mengubah keadaan. Masalah orang Melayu hari ini bukanlah disebabkan serpihan apa yang telah berlaku sewaktu zaman kolonialisme dahulu tetapi ia lebih kepada sikap dan mentaliti mereka yang lebih gemar melihat dan mecontohi bangsa-bangsa lain. Nampaknya, kehidupan kampung yang santai dan menantikan durian runtuh masih terpupuk dalam diri mereka. Dari apa yang dikatakan Herwanto, bahawa, "Ketiadaan sandaran intelek yang dijana melalui sistem pendidikan yang menyeluruh akan seolah-olah membayangkan semangat Melayu ini sekadar sebatang lilin yang bersumbu, mudah dinyala, mudah pula dimatikan", saya diberi gambaran bahawa sikap orang-orang melayu tidak ubah seperti watak Mat Jenin.
Apabila Sheikh Muszaphar Shukor sibuk meneliti angkasa, orang-orang Melayu juga sibuk beria-ia inginkan anak mereka menjadi angkasawan. Saya tidak menafikan bahawa semangat ini merupakan sesuatu yang baik. Namun demikian, semangat, mimpi, impian tanpa tindakan tidak ubah seperti Mat Jenin.

Malah, orang-orang Melayu sebenarnya berbangga dengan keadaan mereka sekarang ini. ini boleh didapati dari lagu enjet-enjet semut,
http://www.youtube.com/watch?v=k4Xci2YSxqE&eurl=http://www.emsos2006.org/video_k4Xci2YSxqE.html

"Some said we laid back, some dont understand.

We have masterplan. we dont aim this world. we aim hereafter.
working hard all day. OI!OI! relak one corner.

Slowly but surely. no need to struggle."

Saya rasa video ini telah mengatakan segalanya. tak perlulah kita memerah otak mengenai siapa salah atau siapa yang patut dipersalahkan kerana semua ini hanya boleh dianggap salah jika orang melayu sendiri tidak setuju dengan keadaan mereka sekarang ini.

Ikhlas
Amirah Shahab

epitome of 'silence' said...

Saya berasa bangga bahawa ada orang Melayu kita yang mampu mengetepikan masa untuk memahami pemikiran orang Melayu. Ya, pemikiran dibentuk keadaan pada suatu zaman, dan pemikiran juga akan membentuk masa hadapan masyarakat/individu tersebut. Ironis bukan? Saya setuju dengan Amirah bahawa persoalan SALAH SIAPA? merupakan soalan yang membuang masa dan tidak berfaedah. Yang harus diutamakan sekarang adalah cara untuk memperbaiki masalah atau 'glitch' dalam pemikiran orang Melayu.

Sudah terbukti bahawa pemikiran orang Melayu boleh berubah ke arah yang lebih positif mengikut pemerhatian terhadap peredaran zaman sebagaimana yang diterangkan dalam artikel ini di bahagian minah karan.

Rusuh perkauman yang berlaku pada tanggal 13 Mei 1969 sememangnya mengubah prestasi dan status orang Melayu di Malaysia. Kelayakan orang Melayu sebagai pemerintah dipersoalkan, dan keistimewaan hak rakyat yang diberikan kepada orang Melayu sahaja juga dipersoalkan. Sekali lagi kepimpinan orang Melayu dipersoalkan sebagaimana ia dipersoalkan pada zaman penjajahan.

Kini, kayu pengukur yang menentukan kelayakan seseorang bukanlah warna kulitnya(cth Blacks vs Whites/Jews vs Nazis) tetapi kebolehan dan prestasinya dakam bidang yang diceburi. Kenyataan ini yang melumpuhkan masyarakat Melayu yang masih belum mengubah cara pemikiran mereka untuk disesuaikan dalam konteks zaman sekarang.

Unknown said...

Salah satu sebab mengapa Melayu mundur ialah kerana sikap mereka yang suka menunding jari ke arah orang lain sehinggakan mereka tidak nampak kesalahan diri mereka sendiri.

Sekiranya kesalahan sendiri asyik ditunding ke arah penjajah, masyarakat Melayu tidak akan dapat menyedari kelemahan dan mempelajari kesilapan diri mereka sendiri

Kesan penjajah itu seharusnya membangkitkan semangat Melayu agar lebih maju ke hadapan dan bukanlah dijadikan sebagai satu alasan untuk menjadikan Melayu lemah dan terkebelakang. Sungguhpun ada benarnya penjajah dahulu pernah menjadikan apa yang dihasilkan Melayu sebagai second class, Melayu Malaysia harus sedar sekiranya ianya berlaku satu ketika dahulu dan bukannya sekarang.

Puluhan tahun telah berlalu dan sepatutnya hari kelmarin mengajar kita untuk menjadi lebih baik pada hari ini. Minda Melayu Malaysia harus berubah demi mencapai kemajuan dan kejayaan seperti bangsa lain. Sikap ego dan menyalahkan pihak lain perlu dihentikan. Minda Melayu Malaysia harus diubah. Hanya mereka yang mampu mengubah dan memperbaiki kesilapan yang pernah terjadi satu masa dahulu. Zaman telah berubah begitu juga dengan minda yang harus diubah dan disesuaikan mengikut peredaran zaman.

-hafizah-

Anonymous said...

Saya setuju dengan pendapat yang diberikan oleh Hafizah bahawa "Salah satu sebab mengapa Melayu mundur ialah kerana sikap mereka yang suka menunding jari ke arah orang lain".

Lihat sahaja kejadian yang sedang berlaku kini di Malaysia. Kekalahan UMNO semasa pilihan raya lepas, telha mencetuskan satu sesi 'menuding jari' iaitu menyalahkan pengundi luar, ruang siber dan sebagainya. Tidak satu pun yang menuding jari ke arah diri mereka sendiri iaitu UMNO. Malah, para pemimpin mereka inginkan satu 'bedah siasat' dijalankan ke atas pengundian dilakukan.Mereka tidak terfikir sejenak mengapa kekalahan besar ini berlaku setelah sekian lama dikenali sebagai parti yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat di negara itu.

Ini jelas menunjukkan sikap Melayu yang hanya membawa kemusnahan terhadap diri mereka sendiri. Artikal "Pengertian Minda Melayu Malaysia" adalah pemikiran awal masyarakat Melayu yang sehingga kini masih belum banyak berubah. Banyak juga yang masih mengamalkan sikap yang mereka dakwa adalah daripada zaman penjajahan. Ini berbalik kepada persoalan 'salah mereka bukan aku'.

Biarpun begitu halnya, ada juga masyarakat 'Melayu baru'(satu istilah yang telah lama dilaung-laungkan oleh masyarakat Melayu sendiri) seperti di kalangan mereka yang telah dapat megubah pemikiran mereka,terus bangun untuk memperbaiki diri dan tidak terus duduk dan menunggu untuk menyalahkan orang lain kecuali diri mereka sendiri. Contoh dapat kita lihat daripada ulasan yang telah diberikan oleh Cik Izziana kita.

Salah jika kita mengatakan bahawa Melayu TIDAK boleh kerana kita dapat melihat dengan sendiri mereka yang telah berjaya. Jika kita tidak berusaha sendiri untuk mengubah pemikiran yang telah dibentuk penjajah, siapa lagi yang akan berbuat demikian?

Help save the Earth
Nurhuda Mohamed

a & w said...

Pucuk pangkalnya diri sendiri yang harus memecahkan ruyung dan memanfaatkan peluang yang ada. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Masyarakat Melayu harus merealisasikan falsafah orang bijak pandai; di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Jika perlu, ikrarkan sahaja peribahasa itu dan tanamkan niat di hati bahawa setiap usaha itu akan membuahkan hasil. Serta, merealisasikan niat yang murni itu untuk mara ke hadapan dan setiap peluang itu tidak harus disia-siakan. Kelak, pisau akan memakan tuannya.

Banyak pengajaran yang boleh kita raih melalui sejarah Melayu dan zaman penjajahan seperti yang dibentangkan oleh Mazuin, supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Semoga masyarakat Melayu tidak akan dikenali sebagai bibir manis yang memutar kata.

salam,
Siti Nurul Aiin

Anggerik Melur Teratai said...

Saya bersetuju dengan pendapat Saudari Nurul Aiin mengenai terletaknya tanggungjawab ke atas individu itu demi penakatan dirinya. Dialah yang harus memilih jalan kehidupannya. Namun demikian, pada pendapat saya, terdapat faktor sumbangan lain. Masalah-masalah Melayu, baik dalam atau luar negara bermula dengan semacam pemikiran dan pendapat awal mengenai etika, salasilah, perangai dan perwatakan seorang Melayu itu. Pendukungan 'falsafah' ini telah dijadikan sebuah legasi khazanah turun-temurun. Generasi demi generasi seakan telah didoktrinkan dengan pemikiran ini lantas mereka telah sebati dengannya. Bukan mudah bagi memecahkan benteng psikologi ini, lantas keadaan orang Melayu dari dahulu hingga sekarang, sama sahaja.

Namun demikian, ada yang telah berjaya untuk meruntuhkan pagar ini. Individu-individu tersebut telah pun mengenalpasti ruang-ruang yang patut dan tidak patut dianuti demi kejayaan. Ada yang terpaksa berfikir seperti orang cina untuk berjaya. Tidak dinafikan, ada beberapa pemikiran Melayu yang tidak patut diketepikan, seperti nilai-nilai Melayu yang tersemat rapi di dalam jati diri orang Melayu. Nilai-nilai ini seharusnya ditanamkan dari rebung lagi. Penanaman nilai-nilai ini membawa masuk kepentingan penyemaian jenis asas yang diterapkan. Pada hemat saya, ibu bapa dan keluarga bertanggungjawab dalam hal ini. Apabila anak itu telah terbiasa dengan nilai-nilai murni yang dijadikan amalan kehidupannya, nescaya sikap ini akan mengikutinya dewasa.

Berbalik kepada isu mengenai individu-individu berjaya yang telah mengambil pendekatan bijak dengan mengenalpasti ruang-ruang yang harus dielak. Antara ruang yang harus dielakkan ialah amalan PHD (Penyakit Hasad Dengki) orang Melayu, kepercayaan bahawa perempuan akan tetap terceruk di celah dapur, dan juga tabiat tikam menikam sesama Melayu.

Sebagai penutup, ingin saya bicarakan mengenai rezeki. Rezeki itu adalah kurniaan Tuhan, oleh itu segala yang diterima boleh diambil kembali. Individu-individu yang berjaya tidak seharusnya 'lokek', tetapi harus berusaha untuk membantu golongan masyarakat lain untuk sama-sama bangun. Usaha ini nescaya akan melahirkan lebih ramai orang Melayu yang berjaya lantas membangunkan martabat bangsa Melayu yang kian dipandang remeh oleh mata dunia.

ShineStar said...

pendek kata, masyarakat melayu masih lagi dibelengu pemikiran yang singkat dan tidak mahu berfikir dengan mendalam seperti yang dikatakan oleh penulis.

masyarakat melayu selalu menanamkan sikap mengikut-ikut tetapi tidak tahu apa yang dilakukan mereka. contoh, seperti budaya tindik menindik, sesetengah masyarakat menindik tubuh badan mereka atas dasar 'spritual' untuk agama atau tradisi. tetapi kini, kita dapat lihat ramai dikalangan masyarakat melayu yang menindik hidung, telinga dan badan mereka sesuka hati tanpa mengendahkan maksud sebenar simbol menindik itu.

masyarakat melayu juga mempunyai sikap yang suka menyalahkan orang lain. seperti contoh keputusan undian UMNO yang diberikan oleh Huda. mereka tidak mahu memikiran kenapa mereka kalah dan bagaiman mereka boleh memperbaiki diri mereka dan memenagi hati rakyat untuk menyokong mereka kembali. tetapi yang mereka kecoh-kecohkan ialah untuk menyiasat undian itu semua.

masyarakat melayu juga tidak mahu menggagap kejayaan masyarakatnya yang sidikit sebagai satu kebanggan. tetapi kejayaan masyarakat lain adalah satu kebangaan yang besar. sikap ego ini harus dihapuskan.

kejayaan bagi saya datang dalam berbagai-bagai bentuk. ambil contoh yang mudah, jika semalam saya mempunyai $1, dan hari ini saya bekerja lebih keras dan dapat $1 lagi, jumlah wang yang saya miliki pada hari ini ialah $2. bagi itu adalah satu kejayaan. kerana saya mendapat keuntungan dan saya berjaya 'merubah' nasib saya menjadi lebih baik.

seperti Singapore idol kita, Taufik, yang memang betul dia belum dapat membuat nama dia hollywood atau bollywood. tetapi dia telah berjaya menempatkan namanya di Australia dan New Zealand. itu adalah satu kejayaan bagi saya. Hady Mirza pula, dia telah berjaya mengalahkan penyanyi-penyayi yang hebat di seluruh Asia. itu juga satu kejayaan bagi saya. By Definition, pemenang 'Live The Dream', pada mulanya mereka hanyalah sekumpulan band yang di anggap kumpulan 'Matrock', mereka agak merempat sebelum kemenangan mereka. tetapi kini, mereka 'berharga' $8000 untuk 30minit persembahan. mereka ditawarkan untuk membuat persembahan di hotel dan gaji yang ditawarkan seminggu ialah $15000. bukankah itu satu kejayaan?

saya bukanlah 'pro-artists' atau menyokong mereka yang terlibat dalam dunia hiburan 100%, tetapi yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, kejayaan datang dalam pelbagai bentuk asalkan ia merubah hidup seseorang menjadi lebih baik dari yang semalamnya. jadi janganlah kita asyik mengutuk dan kritik bangsa kita sendiri kerana sesetengah masyarakat kita terlalu cenderung dalam bidang hiburan. ini adalah rezeki masing-masing dan kerjaya masing-masing. walaupun belum dapat mereka menempatkan nama kemuara hollywood, tetapi mereka telah berjaya meningkatkan diri dalam arena hiburan. kita seharusnya berbangga dengan usaha mereka.

dan akhir sekali, masyarakat melayu masih belum berani menerima hakikat, hidup dalam dunia realiti. kerana mereka takut menghadapi kegagalan dan tidak suka dikritik. oleh kerana sikap ini lah, masyarakat melayu masih lagi kebelakang. mereka takut untuk mencubah sesuatu bidang dan mereka takut untuk maju kehadapan kerana mereka tidak mempunyai keyakinan diri. mungkin juga artist-artist kita tidak bergerak ke hadapan kerana mereka mempunyai sifat sebegini. mereka hanya lebih selesa dengan apa yang telah diraih mereka.

Umi said...

Rasanya setiap yang perlu dikatakan telahpun disuarakan oleh rakan rakan yang lain. Oleh itu, kata akhir dari saya akan diringkaskan.

Seperti peribahasa Ada hari ada nasi, setiap manusia atau masyarakat mempunyai rezeki mereka yang tersendiri. Kalau hendak diikutkan kehidupan yang melarat, orang-orang Yahudi telah lama mati di dunia ini. Kalau nak ikutkan hati yang hancur, tidak mungkin ada lagi yang ingin berkahwin. Maksud saya, semuanya bergantung pada diri kita sendiri sama ada kita ingin mengusahakan sesuatu atau tidak. hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Soal masyarakat ini bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Bagi diri saya, masyarakat Melayu sebenarnya tidak ada masalah kerana kalau benar masalah itu bergantung kepada masyarakat, tidak mungkin kita akan ada orang-orang melayu yang berjaya dan bergelar jutawan.

Sesungguhnya tuhan itu adil dan tidak akan menganiayakan sesiapa.
Dan sebagai manusia, kita harus sentiasa berpegang pada kata-kata ini untuk berjaya. Tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni.