Sunday, March 23, 2008

Pengajian-E (Sastera tahun 2)

Hayati coretan ringkas cerpen berikut. Kemudian aplikasikan salah satu teori sastera yang relevan dan dengan ringkas berikan pandangan anda.

Lambat baru Mail menjawab dengan kalimat tanya: “Kalau tidak dengan Tijah, dengan siapa pulak, Cikgu?”
“Dengan sesiapa sahaja,” terang Cikgu Salman, “dengan perempuan-perempuan yang bebas (anak dara atau janda) asal saja jangan dengan bini orang atau dengan perempuan yang mahram – yakni: perempuan yang diharamkan nikahnya.”
“Maksud Cikgu?” tanya Mail untung-untungan.
“Ramai anak dara dalam masyarakat kita yang belum bersuami,” terang Cikgu Salman, “di kawasan perumahan kita saja kalau kita periksai, ramai anak dara yang sudah berhenti sekolah sama ada yang keluar bekerja atau yang masih terperuk di rumah. Masing-masing sedang terdedah kepada banyak jenis fitnah. Alangkah baiknya kalau pemuda-pemuda yang seperti Mail ini dapat menyelamatkan mereka daripada dedahan fitnah-fitnah itu,” Cikgu Salman mengambil ngap sedikit.
“Kalaulah benar-benar Mail mahu kahwin,” lanjut Cikgu Salman, “mengapa tidak Mail meminta Bapak atau Emak Mail memilih satu daripada mereka? Tidakkah cara begini lebih baik daripada kita mengharapkan seorang kawan kita menceraikan isterinya, kemudian kita kahwini jandanya itu?” Cikgu Salman memberi fikiran.

“Budak-budak sekarang, Cikgu,” Hajah Tipah mengeluarkan pendapatnya, “takkan mereka mahu menerima bini yang dipilih orang tua.”
“Kalau tak sukakan yang dipilih orang tua,” kata Cikgu Salman, “biarlah mereka pilih sendiri. Ibubapa bertolak ansur pulak.”
“Ini yang dipilihnya sendirilah, ni!” kata Hajah Tipah.
“Tetapi, apabila kedapatan pilihannya itu agak sumbang,” terang Cikgu Salman, “sampailah pula kewajipan ibu bapa menunjukkan jalan yang lebih munasabah.”
“Maksud Cikgu?’ tanya Haji Muin pula.
“Saya tidak bermaksud hendak mengajar Abang Aji dan Kak Aji!” terang Cikgu Salman.
“Nasihat?” tanya Haji Muin lagi.
“Juga tidak,” kata Cikgu Salman, “saya sekadar memberi pandangan saja. Keputusan yang muktamad masih tetap hak Abang Aji dan Kak Aji!”
“Kalau begitu,” kata Haji Muin, “katakanlah pandangan itu supaya kami pertimbangkan.”
“Tentang Mail mahu kahwin ini, sudah betullah tu; tak ada salahnya lagi!” terang Cikgu Salman, “tetapi tentang pilihannya itu, saya rasa, kurang tepat. Mungkin hal itu bukan disengajainya. Di luar kesedarannya, Mail telah terlibat dalam kegiatan menggalakkan perceraian; padahal para pemimpin kita sedang berusaha sedapat-dapatnya mengelakkan perceraian dalam masyarakat kita.”
“Tapi Bang!” sela Cik Midah yang dari tadi hanya mendengarkan sahaja perbualan itu, “kalau sudah ditakdirkan ke situ jodohnya, apalah yang boleh kita lakukan?”
“Takdir memang benar,” terang Cikgu Salman, “tetapi kita manusia ini dikurniakan akal untuk membanding yang baik dengan yang cacat; kalau segala ikhtiar sudah kita usahakan namun tidak berjaya juga, barulah kita berserah kepada takdir pulak!”

“Jadi, bagaimana dengan Mail ini, Cikgu?” Hajah Tipah meminta penjelasan.
“Saya kira, dalam masyarakat sekarang ini,” terang Cikgu Salman, “berlubur-lubur ada anak dara yang sudah patut bersuami tetapi belum kahwin, berlambak-lambak pulak janda-janda yang sah (yang kematian suaminya, yang ditinggalkan suaminya, yang diceraikan dengan aniaya) yang boleh dipilih untuk menjadi isteri yang baik dan bertanggungjawab.”
“Mengapa tidak Mail pilih seorang daripada mereka itu untuk dijadikan isterinya; mengapakah dia masih mahu mengharap dan mesti menunggu seorang isteri yang sah diceraikan suaminya untuk menjadi isterinya?” akhir kata Cikgu Salman.

Mail cuba menegakkan benang basahnya.
“Tetapi Tijah sudah diceraikan Said, Cikgu!” kata Mail, “Yang sedang kita tunggu Cuma pengesahan mahkamah saja.”
“Kalau mahkamah tidak mengesahkannya, bagaimana?” tanya Cikgu Salman kepada Mail.
“Mahkamah akan sahkah dan akan keluarkan surat cerai itu pada 21 haribulan!” jawab Mail penuh yakin.
“Tentukah mahkamah akan mengeluarkan surat cerai itu pada 21 haribulan?” tanya Cikgu Salman lagi.
Mail tidak menjawab.

“Mail kata tadi: penggilan 21 haribulan itu kerana bicara. Putusnya belum tentu lagi, kan!” Cikgu Salman mengingatkan.
Mail tidak manyahut.

11 comments:

epitome of 'silence' said...

Berdasarkan nukilan ini, teori sesuai yang boleh diaplikasikan adalah teori strukturalisme genetik. Teori strukturalisme genetik menerangkan hubungan antara latar belakang sesebuah zaman dan penulis dengan karya yang dihasilkannya. Teori ini dibahagikan kepada tiga komponen iaitu fakta kemanusiaan, subjek kolektif dan pandangan dunia.

Fakta kemanusiaan menerangkan perlakuan manusia pada sesuatu zaman, subjek kolektif pula menerangkan aspek luaran selain daripada sikap atau perbuatan manusia seperti ekonomi dan budaya dan bagaimana ia mempengaruhi karya sementara pandangan dunia yang dianggap paling penting merujuk kepada latarbelakang penulis tersebut.

Novel MMK ditulis Cikgu Ariff Ahmad pada tahun 1976. Novel ini mengisahkan seorang pemuda 'Mail' dan kesusahan yang dialaminya untuk mencari jodoh yang sesuai. Cikgu Ariff menyentuh beberapa unsur-unsur budaya dalam novel ini dan menampilkan banyak unsur-unsur negatif yang mungkin dapat dilihat pada tahun 1970-an. Novel ini menyindir pemuda-pemudi tahun 1970-an yang demi masa kehilangan moral, akal dan pemahaman budaya. Cikgu Ariff juga menyelitkan unsur agama dalam novel ini yang bertujuan menyedarkan masyarakat pada masa tersebut.

Kebanyakan novel Cikgu Ariff menyentuh aspek budaya. Secara tidak langsung, beliau merupakan tokoh 'pejuang' dari segi adat dan budaya. Beliau juga dikenali sebagai aktivis persuratan , bahasa dan budaya yang ulung di Singapura.

Novel ini dihasilkan Cikgu Ariff berdasarkan pemerhatiannya terhadap masyarakat Melayu pada zaman 70-an (pembangunan). Brliau menggunakan watak-watak tertentu sebagai representasi golongan masyarakat Melayu yang wujud pada zaman tersebut. Memandangkan Cikgu Ariff berlatarbelakangkan aspek budaya yang tinggi dalam setiap penulisannya, maka tidak hairanlah sekiranya novel ini merupakan pemerhatian dari sudut seorang budayawan.

Ringkas kata, novel ini memenuhi ketiga-tiga komponen yang membentuk teori strukturalisme genetik, oleh itu teori ini boleh diaplikasikan dalam novel MMK.

-mazuin

nazurah said...

Berdasarkan nukilan yang dipetik dari novel Mail Mau Kawin oleh Cikgu Ariff Ahmad, saya bersetuju dengan pendapat mazuin. Pendapat yang mengatakan bahawa teori yang sesuai untuk diaplikasikan adalah teori strukturlisme genetik.

Seperti yang kita semua ketahui (bagi mereka yang telah membaca dan mengkaji novel MMK), novel ini ditulis oleh Cikgu Ariff pada tahun 1970-an. Secara ringkasnya, novel ini mengisahkan tentang sebuah watak utama iaitu watak Mail dalam pencariannya untuk mencari jodoh yang sesuai. Dalam usaha pencarian tersebut terdapat beberapa halangan yang dilalui olehnnya. Bukan itu sahaja, novel ini juga memaparkan unsur-unsur budaya yang sudah semakin kurang dipraktikkan dan bagaimana generasi muda pada zaman tersebut telah mula mengamalkan budaya yang mempunyai unsur-unsur negatif.

Cikgu Ariff memang terkenal sebagai seorang budayawan. Maka tidak hairanlah jika karya-karyanya sering kali berkaitan dengan budaya. Meskipun beliau banyak menyatakan tentang budaya dalam novel MMK ini beliau juga turut menyelitkan tentang hal agama. Ini kerana generasi muda pada waktu itu bukan sahaja sudah tidak mementingkan budaya malah agama juga. Agama dikaitkan bukanlah untuk memanjangkan cerita semata tetapi juga untuk menyedarkan masyarakat Melayu yang beragama Islam bahawa agama itu penting dalam setiap perlakuan kehidupan mereka.

Selain itu, melalui kajian yang telah dibuat mengenai novel MMK dan juga penghayatan yang telah dibuat melalui nukilan yang diberikan, kita dapat melihat bahawa ianya sebuah pemerhatian yang dilakukan oleh Cikgu Ariff dan telah dibukukan untuk menjadi sebuah cerita.

Melalui pemerhatian yang telah beliau lakukan, hasilnya beliau dapat mengupas kehidupan masyarakat Melayu pada zaman pembangunan (zaman 70-an) itu sendiri. Meskipun novel ini banyak mengetengahkan unsur budaya namun ianya juga berjaya memberikan pengajaran kepada pembaca. Unsur-unsur budaya yang terdapat dalam novel ini sudah diduga memandangkan Cikgu Ariff seorang budayawan sebagai penulisnya. Maka tidak hairanlah sekiranya novel ini banyak mengetengahkan tentang budaya masyarakat Melayu.

Kesimpulannya, novel MMK ini menepati ciri-ciri yang terdapat dalam teori struklturlisme genetik ini.

-nazurah

Fadilah Bte Abd Malik said...

Saya berpendapat bahawa pendekatan historis lebih sesuai diaplikasikan terhadap cerpen tersebut.

Menurut Drs Jaafar Harun di dalam bukunya, "Teori dan Kritikan Sastera" (2002), beliau berpendapat bahawa pendekatan ini lahir apabila kesusasteraan dianggap sebagai bahan yang amat erat hubungannya dengan pergolakan-pergolakan yang berlaku dalam masyarakat. David Daiches beranggapan bahawa kesusasteraan itu sebagai suatu aktiviti tamadun umat manusia.

Pergolakan-pergolakan yang menggerakkan tamadun manusia itu berlangsung pada suatu masa dalam kehidupan sesuatu bangsa dan mewujudkan suatu suasana yang menggerakkan perubahan dalam pelbagai segi apabila diambil sebagi iktibar.

Jelaslah di sini bahawa kesusasteraan erat hubungannya dengan sejarah.

Di dalam novel “Mail Mau Kawin”, Cikgu Ariff banyak mengetengahkan isu-isu agama, pendidikan dan keseksualan di kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura. Selain bertugas sebagai guru, pejuang persuratan, penggerak kesedaran masyarakat dan pengarang, Cikgu Ariff juga adalah seorang pendakwah menerusi khidmat khususnya dalam Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi kes kawin dan cerai. Tidak hairanlah jika kita dapati di dalam novel “Mail Mau Kawin”, ada disertakan mengenai kisah perceraian Tijah dan Said dan perkahwinan Mail. Berkemungkinan besar, berdasarkan pengalaman beliau dalam kes kawin dan cerai, beliau telah mengadaptasikan pengalaman beliau di dalam novel tersebut.

Unknown said...

Teori sastera yang relevan dengan coretan ringkas cerpen berikut ialah teori strukturalisme genetik. Menurut Lucien Goldman (1955), teori strukturalisme genetik ini merujuk kepada pendapat bahawa sastera adalah cerminan masyarakat. Sesebuah hasil karya itu mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks masa dan zaman dengan sistem pemikiran dan pandangan hidup masyarakat pada zaman tertentu.

Novel 'Mail mahu kawin' oleh Muhammad Ariff Ahmad ini banyak mengetengahkan dan memaparkan mengenai masyarakat Melayu pada zaman 70-an. Pemikiran sesebuah masyarakat itu berubah mengikut peredaran zaman.

Sebagaimana yang dipaparkan dalam novel 'MMK' ini, masyarakat Melayu yang digambarkan menunjukkan pemikiran sesetengah golongan masyarakat Melayu yang masih konservatif. Contohnya, Muhammad Ariff Ahmad ada menunjukkan sikap masyarakat Melayu yang masih terlalu berserah kepada takdir dalam segala apa keputusan yang dilakukan. Sebagaimana yang dikatakan oleh Cik Midah, "“kalau sudah ditakdirkan ke situ jodohnya, apalah yang boleh kita lakukan?”

Agama memainkan peranan yang penting dan pegangan agama Islam masih kuat dipegang oleh masyarakat Melayu lebih-lebih lagi pada zaman tersebut.

Selain itu, teori ini juga mengemukakan pemikiran masyarakat Melayu yang menggalakan anak-anak mereka berkahwin pada usia yang muda. Disebabkan perkahwinan pada usia yang terlalu muda itu jugalah yang menyebabkan banyak kes penceraian yang berlaku.

Segala yang diceritakan dalam novel ini merupakan refleksi realti sebenar masyarakat Melayu pada zaman tersebut.sememangnya, pada zaman 70-an, kadar penceraian begitu banyak di kalangan masyarakat Melayu. Begitu juga dengan pernyataan yang dibuat yang menunjukkan bahawa pemikiran ibu bapa pada masa dahulu masih jauh terkebelakang memandangkan mereka masih lagi tidak menyedari akan kepentingan pendidikan. Disebabkan itu, ramai anak gadis yang tidak disekolahkan tinggi atau diberhentikan dan sebaliknya dikahwinkan pada usia yang muda. Mereka berpendapat bahawa orang perempuan tiada gunanya belajar tinggi kerana akhirnya mereka 'akan ke dapur juga'. Fikiran konservatif sebegini merupakan satu bukti bagaimana ramai anak-anak Melayu tidak berpendidikan pada masa dahulu.

Sememangnya adalah wajar untuk dikatakan bahawa segala kandungan dalam coretan ringkas novel ini adalah relevan dan mendokumentasikan keadaan masyarakat yang sebenar.

Oleh itu, pengarang dapat membuat hubungannya dengan kenyataan sosiobudaya yang sesuai dengan tujuan penelitiannya. Sistem pemikiran masyarakat Melayu dapat dilihat dengan ketara melalui coretan ringkas cerpen tersebut.

Teori stukturalisme genetik ini secara tidak langsung dapat disimpulkan sebagai refleksi realiti yang melihat hubungan sastera dengan masyarakatnya. Ia memperlihatkan fenomena sosial, budaya dan dimensi kehidupan yang lainnya. Kesimpulannya, coretan ringkas cerpen berikut sebenarnya adalah citra kepada masyarakat dan membayangkan sebagai suatu kesedaran bersama.

-hafizah-

Wana said...

Berdasarkan nukilan yang merupakan petikan daripada novel "Mail Mau Kawin" karya Muhammad Ariff Ahmad, saya berpendapat bahawasanya pendekatan yang sesuai ialah teori sosiobudaya - yakni sastera sebagai refleksi dan realiti.

Teori peniruan merupakan konsep asas bagi pembentukan dan pengajian sastera. Andaian fundamental yang tertanam dalam teori refleksi atau peniruan ini membentuk peprpecahan kaedah persepsi yang berlainan. Peniruan memerlukan kepercayaan asas dalam perpisahan: keberadaan selain daripada realiti, dan tatacara selain daripada kandungannya. Sastera menghasilkan dwi-kemunculan, yang mana menerusi permukaannya sahaja telah dapat menjelaskan intipati yang terkandung di dalamnya. Perkara ini adalah sedemikian kerana kebenaran tetap akan dapat dibendung, dan ia akan hanya dapat diteroka menerusi teori peniruan.

Oleh yang demikian, teori peniruan muncul sebagai “orang tengah” yang mampu menghasilkan pelbagai pembentangan yang artistik, untuk mendalami atau meneroka sesuatu makna atau maksud, seperti realiti sebenar sesuatu kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, menurut Plato, seni telah meniru dunia yang telah jauh dari realiti dan kebenarannya, maka ianya adalah sesuatu yang dokumen yang dunia yang palsu.

Seni sebagai peniruan adalah tidak relevan dengan apa yang benar. Terdapat pelbagai kritikan telah dikemukan setelah Plato sedaya upaya cuba membuktikan kembali nilai seni, dengan menjelaskan sempadan di antara peniruan dan kebenaran, dan di antara teks itu sendiri dan maksudnya.

Oleh yang demikian, begitu juga dengan apa yang diketengahkan MAS dalam novel pertamanya ini. MAS telah menggunakan keadaan, pengalaman serta kehidupan di sekelilingnya sebagai satu panduan atau asas bagi menghasilkan novelnya. Sebagai contoh, MAS telah mengaplikasikan budaya 'hippies' atau budaya kuning dalam zaman MAS mengarang novelnya, iaitu pada tahun 1970-an, dan direalisasikan dalam sastera penulisannya untuk menghasilkan sebuah novel yang tampak sereal-realnya. Umpamanya, MAS telah mengemukakan soal perihal remaja yang suah tidak mendengar kata ibu bapa mereka lagi, remaja yang berazam untuk berdikari meskipun pengalaman dan ilmu pengetahuan belum cukup untuk hidup sendiri, perihal remaja yang masih kahwin dalam usia muda, dan juga perihal kadar penceraian yang sememangnya tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu hingga ke hari ini, zaman agama sudah semakin tidak diambil tahu, masalah pergaulan bebas dan umpamanya.

Oleh yang demikian, di sebalik niche novel ini yang berunsur futuristik atau jangkauan yang bersifat progresif ini, novel ini juga telah mengupas dan mendokumentasikan sosiobudaya atau refleksi atau realiti zaman novel itu dikarangkan.

Wana said...

Wana ialah Nirwana Haliza :)

Wana said...

Walau bagaimanapun, saya tidak menyangkal pendapat saudari Mazuin, Nazurah, Fizah dan Dilah, yang telah menggunakan pendekatan-pendekatan lain dalam mengaplikasikan teori ini. Berlakunya perbezaan pendapat atas pendekatan-pendekatan yang perlu diambil adalah kerana berdasarkan teori-teori yang telah tersedia, pengertian terhadap satu teori kepada satu teori yang lain adalah agak sama. Oleh yang demikian, berdasarkan komen dan huraian-huraian yang telah diberikan, saya juga turut bersetuju dengan teori strukturalisme genetik, umpamanya, yang telah diaplikasikan.

a & w said...

Pada pendapat saya, teori ini bukan Strukturalisme Genetik kerana ia tidak menepati ketiga-tiga syarat Strukturalisme Genetik. Nukilan tersebut hanya mengandungi fakta kemanusiaan dan subjek kolektif sahaja. Tidak menepati syarat ketiga; pandangan dunia. Nukilan tersebut hanya tertakluk masalah sosial di Singapura, tidak pula diceritakan bahawa masalah itu turut dihadapi oleh seluruh dunia.

Menurut perspektif saya, teori Dialogisme Bakhtin lebih sesuai kerana ia mempunyai dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran. Menurut Bakhtin, teks dalaman ialah pembinaan sesebuah karya yang mempunyai nilai estetik, imaginatif, ilusi dan sebagainya. Berdasarkan nukilan tersebut, terdapat nilai estetik kerana MAS berjaya menghidupkan watak Mail, Haji Muin, Hjh Tipah, Tijah dan Cikgu Salman, si bijaksana itu; si penasihat. Di dalam cerpen MMK, watak Cikgu Salman sebenarnya mewakili penulis sendiri (MAS). Justeru, ia menepati syarat Dialogisme Bakhtin yang kedua iaitu, (TEKS LUARAN) mempunyai kaitan dengan ideologi, pegangan dan budaya penulis (MAS).

Tambahan pula, menurut Bakhtin, penulis merupakan subjek, tema atau pemikiran yang hendak disampaikan dalam karyanya. Malahan, teori ini dapat dikesan melalui perkara yang berlaku terhadap diri MAS, dalam teks itu sendiri dan diri khalayak. Justeru, teks ini dapat dibandingkan dengan teks yang lain untuk menghasilkan satu perubahan, penentangan dan sebagainya. Manakala, pembaca dapat menghubungkaitkan dengan teks-teks lain yang pernah dibacanya. Natijahnya, sebagai seorang pembaca, saya dapat menghubungkaitkan teks ini dengan Satu Bumi dan Syarifah. Kedua-dua teks ini mempunyai beberapa persamaan dengan MMK.

sekian,
Siti Nurul Aiin

Wellington Primary School said...

Berpandukan teori cina, empat faktor utama saling berkaitan antara satu sama lain. Ianya ialah, karya dikaitkan dengan masyarakat, alam dan pencipta karya tersebut. Sekiranya dilihat karya Mail Mahu Kahwin tersebut, maka sememangnya dapat diaplikasikan dengan teori cina.

Pertama, penulis iaitu Muhd Ariff telah melakarkan keadaan masyarakat Melayu pada zaman enam puluhan. Antaranya penulis melakarkan keadaan wanita – wanita Melayu yang banyak tidak bersekolah, “ramai anak dara yang sudah berhenti sekolah sama ada yang keluar bekerja atau yang masih terperuk di rumah”.

Kedua, penulis memaparkan budaya masyarakat Melayu yang semakin berubah iaitu, anak – anak muda tidak ingin lagi dijodohkan oleh ibu bapa mereka. Sebaliknya, mereka mula ingin mencari jodoh sendiri, “Budak-budak sekarang, Cikgu,” Hajah Tipah mengeluarkan pendapatnya, “takkan mereka mahu menerima bini yang dipilih orang tua.”

Ketiga, penulis menimbulkan persoalan mengenai perceraian dikalangan pasangan Melayu. Misalnya, Cikgu Salman telah mengatakan begitu banyaknya janda – janda yang ada di kampung itu, “berlambak-lambak pulak janda-janda yang sah (yang kematian suaminya, yang ditinggalkan suaminya, yang diceraikan dengan aniaya)”. Selain itu timbul juga hal mengenai perceraian antara Tijah dan suaminya yang masih lagi belum disahkan oleh mahkamah.

Lagipun sememangnya penulisan tersebut dipengaruhi oleh alam sekitar memandangkan penulis melakarkan gambaran masyarakat. Dari segi penulis pula, sememangnya Muhd Ariff merupakan seorang budayawan yang sering mereodkan gambaran masyarakat dalam penulisannya. Ini jelas kelihatan dalam penulisannya yang lain seperti Syarifah.

Justeru, memang sesuailah teori cina diaplikasikan kepada teks tersebut.

Nur Wahidah Binte Sidik said...

Berdasarkan petikan yang diambil dari novel Mail Mau Kawin (MMK) oleh Muhammad Ariff Ahmad (Mas), ia jelas dilihat bahawa teori sesuai yang boleh diaplikasikan ialah teori sastera sebagai dokumen sosiobudaya iaitu sastera sebagai refleksi dari realiti. Teori ini melihat karya sastera sebagai seni peniruan kerana ia mengaitkan karya sastera dengan kehidupan. Justeru, novel MMK ini merupakan sebuah karya sastera yang mencipta semula pengalaman hidup dalam bentuk kata-kata.

Saya kurang setuju dengan pendapat Fadilah bahawa teori historisme boleh diaplikasikan untuk petikan ini. Ianya kerana tiada bukti-bukti sejarah ketara (seperti isu Maria Hertogh) yang boleh diraih dari petikan ini. Sebaliknya, perkara-perkara yang ditimbulkan dalam petikan ini lebih bersifat pendokumentasian hal ehwal kehidupan masyarakat pada zaman itu dan tidak mempunyai bukti sejarah yang kukuh.

Teori sastera sebagai dokumen sosiobudaya lebih sesuai kerana perkara-perkara yang diketengahkan dalam petikan ini ialah mengenai masalah-masalah sosial yang timbul pada peringkat zaman pemodenan kerana novel ini ditulis pada zaman 70-an. Tahun 70-an merupakan zaman negara ke arah pemodenan dan sekaligus, ia juga merupakan zaman yang membawa masalah-masalah sosial yang baru.

Berdasarkan petikan ini, zaman negara ke arah pemodenan mendatangkan perkara-perkara yang positif. Sebagai contoh, hak individu lebih dititikberatkan pada zaman ini. Ini telah dijelaskan dalam petikan ini kerana pemuda-pemudi boleh memilih calon isteri atau suami mereka sendiri tanpa disuruh kahwin paksa oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa mereka hanya sekadar “menunjukkan jalan yang lebih munasabah”. Selain itu, wanita juga memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat dan ini telah didokumentasikan menerusi novel ini. Emansipasi wanita dan hak wanita yang dipertahankan boleh dilihat menerusi petikan ini kerana “berlubur-lubur ada anak dara yang sudah patut bersuami tetapi belum kahwin” kerana sibuk dengan kerjaya sedangkan beberapa wanita yang menegakkan kebenaran dengan menuntut cerai kerana dianiaya. Bukti-bukti ini jelas menunjukkan pendokumentasian sosiobudaya pada zaman itu yang mendatangkan beberapa perkara positif.

Namun, berdasarkan daripada realiti ini, terdapat juga beberapa masalah sosial baru yang timbul. Kaum wanita melambatkan perkahwinan mereka kerana sudah setaraf dengan kaum lelaki dalam kerjaya dan kadar penceraian pula semakin meningkat. Akibatnya, masalah-masalah ini berleretan hingga ke zaman 2000an.

Sebagai kesimpulan, teori sastera sebagai dokumen sosiobudaya merupakan teori yang paling sesuai untuk diaplikasikan bagi petikan ini kerana petikan ini mengetengahkan isu-isu budaya kemasyarakatan yang berlaku pada zaman itu.

John Jenin said...

Pendeta Doktor Muhd Ariff Ahmad atau MAS merupakan antara penulis-penulis mapan yang berjaya mempraktikkan penulisan berdasarkan teori strukturalisme genetik. Karya-karyanya merupakan refleksi masyarakat pada waktu-waktu karyanya tercipta.

Cerpen ini merupakan petikan dari novel Mail Mau Kawin mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda yang bernama Mail yang menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan dalam mencari pasangan hidup. Selain niat Mail untuk mencari seorang calon isteri yang berlandaskan hawa nafsu semata-mata, novel hasil karya Muhammad Ariff Ahmad ini juga mengetengahkan permasalahan keluarga yang melanda keluarga Haji Muin. Dr Muhd Ariff Ahmad telah menggunakan pendekatan isu-isu masyarakat sebagai penggerak novel kerana isu-isu yang dibangkitkan merupakan perkara-perkara yang dekat dengan hati pembaca. Beliau juga telah mencerminkan persepsi masyarakat di jangka waktu tersebut cinta, kejahilan, inovasi, semangat kekampungan dan juga pendidikan yang terkandung di masyarakat tempatan, yakni pada tahun 1970-an di dalam novel tersebut.

Pandangan Dr Muhd Ariff Ahmad terhadap keadaan masyarakat di waktu itu secara kesimpulan banyak menyentuh perkara-perkara malar segar yang boleh diambil sebagai iktibar di zaman moden ini. Meskipun novel Mail Mau Kahwin ini adalah terbitan tahun 1974, cara pemikiran Muhd Ariff Ahmad yang telah berjaya memanipulasikan idea yang ada di sekelilingnya dan menggubah sebuat karya yang ditempatkan dalam sejarah kesusasteraan kerana isi kandung yang sentiasa relevan dalam isu-isu progresif masyarakat Melayu Singapura.

Melalui kajian kes terhadap cerpen ini, kita dapat mengamati kesan teori strukturalisme genetik yang menggerakkan penyampaian cerita tersebut. Waktu cerpen ini dituliskan keadaan yang berlaku pada waktu-waktu itu sejajar dengan rakaman sejarah tentang keadaan masyarakat pada waktu itu. Penulisan yang berupa sebuah rekod ini juga membantu pembaca menyedari bahawa beliau sedang menceritakan pengalamannya ketika beliau melalui peredaran zaman tersebut. Maka, apresiasi berdasarkan teori strukturalisme genetik dapat diaplikasikan sebagai cara terbaik untuk mengamati penulisan tersebut.

Malahan, masalah yang sama masih sedang berlaku di dalam masyarakat Melayu setempat, skandal-skandal dan seksualiti orang-orang Melayu sekarang semakin menjadi-jadi, apatah lagi dengan penularan video-video lucah yang dirakamkan melalui telefon bmibit oleh "aktor-aktor" berbangsa Melayu.